Syarikat Malaysia, Carsome ‘intai’ langkah penyenaraian di AS - Sumber | DagangNews Skip to main content

Syarikat Malaysia, Carsome ‘intai’ langkah penyenaraian di AS - Sumber

 

KUALA LUMPUR 18 Jun - Syarikat pengendali platform kereta terpakai di Asia Tenggara, Carsome Sdn. Bhd. dikatakan sedang ‘mengintai’ langkah untuk penyenaraian awam di bursa Amerika Syarikat (AS).

 

Syarikat ketika ini didakwa dalam rundingan bagi tujuan tersebut, sekali gus bakal menjadikannya unikorn Malaysia pertama yang melakukan langkah berkenaan, menurut sumber seperti dilaporkan Bloomberg.

 

Carsome dilaporkan sedang bekerjasama dengan beberapa penasihat untuk mencapai penilaian syarikat sebanyak AS$2 bilion atau sekitar RM8.29 bilion bagi tujuan penyenaraian itu.

 

Ini mungkin dilaksanakan menerusi penggabungan dengan syarikat pengambilalihan tujuan khusus (SPAC) atau penawaran awam permulaan konvensional, seawal penghujung tahun ini, tambah sumber.

 

Ketika ini, Carsome dilaporkan sedang melaksanakan langkah pra tawaran awam awal (IPO) yang menyasarkan pengumpulan dana sekitar AS$150 juta atau kira-kira RM621.68 juta.

 

Rundingan itu bagaimanapun masih lagi berjalan dan butiran penyenaraian mungkin berubah, jelas sumber lanjut.

 

Sekiranya langkah itu disahkan benar, Carsome akan mengikuti langkah syarikat-syarikat serantau lain seperti Tiket.com dari Indonesia serta PropertyGuru Pte dan Grab Holdings Inc dari Singapura yang merancang untuk disenaraikan di AS.

 

Sebagai rekod, Carsome mula diasaskan pada 2015 dan telah mengembangkan perniagaannya ke Indonesia, Thailand serta Singapura. - DagangNews.com