Syarikat mungkin tangguh pengeluaran kapasiti baharu sarung tangan getah sehingga 2024 | DagangNews Skip to main content

Syarikat mungkin tangguh pengeluaran kapasiti baharu sarung tangan getah sehingga 2024

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 18 Okt - Pendekatan 'tunggu dan lihat' yang diambil kebanyakan negara maju di tengah-tengah persekitaran permintaan yang lembap, menyebabkan pengeluar sarung tangan getah mungkin menangguhkan pelan pengembangan kapasiti sehingga 2024, demikian menurut RHB Investment Bank.

 

Penganalisisnya, Oong Chun Sung mendapati syarikat pengeluar sarung tangan getah di bawah liputannya telah menangguhkan kapasiti mereka pada tahun ini kepada akhir 2023 atau 2024 berikutan kadar penggunaan industri yang rendah, kurang daripada 50% pada Ogos. 

 

Menurutnya, titik pulang modal yang sepatutnya dalam industri adalah kapasiti operasi dengan kadar penggunaan sekitar 50% dan ke atas. 

 

"Oleh itu, kami menjangkakan pemain industri akan terus mengambil langkah berhati-hati sebelum memulakan barisan pengeluaran baharu dalam tempoh terdekat. 

 

"Bagaimanapun, bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika pembuat sarung tangan getah melambatkan lagi pengembangan kapasiti mereka kepada 2024, sekiranya trend penggunaan suboptimum berterusan pada 2023," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Inventori pengedar sarung tangan kekal tinggi pada September (dengan memegang inventori kira-kira enam hingga sembilan bulan di tangan) apabila mereka bimbang mengenai risiko kemerosotan inventori, sekiranya harga jualan purata (ASP) akan terus menurun selepas membuat pembelian.

 

Permintaan dianggarkan meningkat secara konservatif hanya 4% tahun ke tahun pada 2023 disokong oleh penstabilan harga menjelang separuh pertama 2023, menunjukkan pendekatan yang lebih berdisiplin  diambil oleh pemain sarung tangan tempatan dari segi pengembangan kapasiti, serta tempoh menjana hasil untuk pengeluaran inventori di peringkat pelanggan.

 

 

Top Glove

 

 

Sehubungan itu, Chun Sung menjangkakan permintaan pada tahun hadapan dijangka mendatar di tengah-tengah kadar penggunaan industri yang rendah diikuti pertumbuhan 3% pada 2024.

 

"Kami menjangkakan ketidakseimbangan permintaan-bekalan akan berlarutan sekurang-kurangnya selama setahun sebelum mencapai keseimbangan menjelang 2024." jelasnya.

 

Malah, beliau mendapati momentum kemerosotan ASP menyederhana pada suku baru-baru ini kepada sekitar AS$24 per 1,000 keping, yang mendorong Top Glove Corp. Bhd. meningkatkan ASP sebanyak 5% pada Oktober dalam usahanya melepaskan kenaikan kos input kepada pelanggan untuk kekal untung.

 

Namun, katanya, kesan kenaikan itu masih belum dapat dilihat dari segi penerimaan pelanggan kerana ia tidak didorong oleh permintaan yang melonjak.

 

"Sebaliknya, ia adalah satu langkah pasif di pihak syarikat, dan mungkin meletakkannya pada risiko kehilangan bahagian pasaran. Pada masa ini, tiada pemain industri yang melepaskan kos ini.

 

"Kami juga percaya mungkin terdapat potensi risiko hakisan ASP seterusnya jika Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (AS) memansuhkan 7.5% tarif import ke atas sarung tangan yang diimport dari China, yang akan tamat tempoh pada akhir November ini," katanya.

 

 

hartalega

 

 

Secara keseluruhan, beliau masih mengekalkan pandangan 'underweight' terhadap sektor sarung tangan getah meskipun ia dijangka mengalami satu lagi kitaran pembetulan.

 

Ini susulan Top Glove dan Hartalega Holdings Bhd., kemungkinan terkeluar daripada konstituen utama FBM KLCI diikuti dengan perlembagaan semula indeks pasca pengimbangan semula dana pasif.

 

"Setakat ini, Hartalega mempunyai penilaian paling rendah dalam kalangan empat syarikat sarung tangah getah di bawah liputan kami diikuti Kossan Rubber Industries, Supermax Corp. Bhd. dan Top Glove," tambahnya.

 

RHB Investment turut mengekalkan saranan 'jual' buat Top Glove, Hartalega, Supermax dan Kossan dengan harga sasaran masing-masing pada 49 sen, RM1.36, 50 sen dan 86 sen. - DagangNews.com