Syarikat pengendali umrah boleh mulakan aktiviti promosi - MOTAC | DagangNews Skip to main content

Syarikat pengendali umrah boleh mulakan aktiviti promosi - MOTAC

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Semua syarikat pengendali umrah berlesen diberi kebenaran untuk memulakan aktiviti promosi dengan memohon kelulusan iklan pakej umrah atau ziarah di bawah fasa interim.

 

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berkata, kebenaran itu dibuat seiring dengan ketetapan dasar baharu yang telah diumumkan oleh Kerajaan Arab Saudi iaitu berkaitan aktiviti pelancongan (Visa Pelancongan) bermula 1 Ogos 2021 dan mengerjakan ibadah umrah (Visa Umrah) bermula 10 Ogos 2021.

 

Inisiatif MOTAC itu juga selaras dengan ketetapan dan usaha-usaha kerajaan dalam menggerakkan semula ekonomi negara.

 

"Kelonggaran ini diberi sebagai persediaan awal ke arah pembukaan sempadan oleh pihak Kerajaan yang disasarkan pada Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara dan membolehkan penggiat industri menilai serta bersedia dengan bilangan jemaah umrah yang berminat mengerjakan ibadah umrah pada masa terdekat. 

 

"Proses permohonan ini boleh dibuat ke emel umrah@motac.gov.my berdasarkan syarat-syarat dan paramater yang ditetapkan oleh kementerian," jelas MOTAC dalam satu kenyataan.

 

Parameter yang ditetapkan kementerian bagi kelulusan fasa interim antara lainnya adalah membenarkan aktiviti promosi tanpa bayaran dan tidak mengikat mana-mana pihak.

 

Perkara itu perlu dibuat sehinggalah kerajaan mengumumkan tarikh pembukaan sempadan ke luar negara dan proses-proses perjalanan pelaksanaan ibadah umrah dibenarkan semula bagi rakyat Malaysia.

 

Bagi MOTAC, apa juga bentuk bayaran untuk perkhidmatan pakej umrah atau ziarah pada masa ini adalah tidak wajar kerana wujud ketidaktentuan penyampaian khususnya tempoh perjalanan dan perkhidmatan sebenar yang akan diterima oleh jemaah. 

 

Selain dasar semasa kerajaan berkaitan pelaksanaan ibadah umrah, semua perkara berkaitan pakej diiklankan juga sewajarnya boleh ditentusahkan oleh pihak MOTAC sebelum iklan dan transaksi perniagaan dijalankan.

 

Tambah MOTAC lagi, pihaknya dalam dalam proses untuk menyediakan garis panduan khusus bagi mengawalselia iklan dan pakej-pakej umrah yang akan ditawarkan kepada orang awam di masa akan datang.

 

Usaha itu adalah bagi memastikan promosi-promosi oleh pihak syarikat kepada jemaah tidak berunsurkan penipuan dan memperdaya orang ramai. 

 

"Pihak kementerian mengalu- alukan penglibatan semua pihak dalam proses konsultasi awam secara atas talian berkaitan draf Garis Panduan Kelulusan Iklan Pakej Umrah atau Ziarah di platform Unified Public Consultation di www.upc.mpc.gov.my. 

 

"Segala komen, pandangan dan cadangan semua pihak diharap akan menambah baik pelaksanaan perkara ini di masa akan datang," jelas MOTAC lagi.

 

Mengulas berkaitan penetapan harga pakej umrah antara RM8,000 hingga RM9,000 yang dibuat pihaknya, MOTAC memberitahu, perkara itu adalah tidak benar serta boleh mengelirukan orang ramai.

 

"Kementerian menafikan sebarang bentuk pengumuman berkaitan harga indikator baharu pakej umrah atau ziarah seperti yang dinyatakan. 

 

"Untuk makluman, harga indikator yang pernah ditetapkan pada tahun 2016 sepertimana yang telah dipersetujui oleh anggota Majlis Kawal Selia Umrah pada ketika itu adalah pada kadar RM4,900," jelas MOTAC. - DagangNews.com