Syarikat teknologi Malaysia, Nectar Verse sertai Bengkel Ekonomi Digital ASEAN di China | DagangNews Skip to main content

Syarikat teknologi Malaysia, Nectar Verse sertai Bengkel Ekonomi Digital ASEAN di China

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Sept - Firma teknologi Malaysia, Nectar Verse Holdings menyertai Bengkel Ekonomi Digital ASEAN China yang diadakan di Universiti Zhejiang yang diiktiraf sebagai salah satu daripada tiga universiti terbaik di China.

 

Pengerusi Nectar Verse Holdings dan Koperasi Belia Digital Bhd, Ahmad Tarmizi Mukhtar berkata, bengkel ini adalah sebahagian dari proses realisasi "Program Latihan Bakat Digital ASEAN-China". 

 

Katanya, semasa Mesyuarat Pemimpin ASEAN-China ke-25 pada 2022, pemimpin China berjanji untuk melaksanakan program ini bagi memupuk 1,000 bakat digital negara-negara ASEAN dalam tempoh tiga tahun akan datang. 

 

"Universiti Zhejiang telah ditugaskan untuk memanfaatkan kedudukannya untuk meningkatkan pertukaran dan kerjasama dengan ASEAN.

 

"Selain itu, kami mengibarkan bendera Malaysia setinggi-tingginya di Bandaraya Hangzhou sempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-66," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Tarmizi berkata, faktor kritikal dalam revolusi teknologi baharu ialah faktor data, yang boleh dirujuk dengan tepat sebagai "revolusi data besar."

 

"Revolusi Data Besar memangkinkan transformasi paradigma tekno-ekonomi. Akibatnya, ia telah menimbulkan pelbagai ekonomi baharu, model perniagaan dan fenomena merentasi semua aspek operasi ekonomi dan masyarakat. 

 

 

nectar

 

 

"Kami akan memainkan peranan aktif dalam transformasi digital ekonomi negara," katanya.

 

Beliau juga merupakan pengasas bersama Asian Internet Gateway Berhad firma yang memberi tumpuan kepada gentian optik dan pusat data di Malaysia, yang berpotensi menjadi hab serantau bagi pusat data kerana lokasinya yang strategik.

 

Sementara itu, pengarah projek, Dr Gong Sen berkata, ia adalah penjelmaan usaha kolektif pihaknya untuk merebut peluang digital dan mengukuhkan kesalinghubungan digital. 

 

 

nectar

 

 

"Kami berusaha untuk mewujudkan persekitaran yang memupuk dialog dinamik, dua hala dalam kalangan profesional ekonomi digital dari negara ASEAN dan China.

 

"Matlamat kami adalah untuk menyumbang kepada pembangunan rangkaian ekonomi digital yang memperjuangkan kepercayaan bersama, faedah bersama, keterangkuman dan inovasi," katanya.

 

Dr Gong menambah bahawa ini akan menjadi pendekatan inovatif untuk menggalakkan pembinaan komuniti ASEAN-China yang lebih dekat. - DagangNews.com