Syed Agil Syed Hashim kini CEO Majuperak Holdings, Ahmad Izral Abdul Karim sebagai CFO mulai 1 Nov 2022 | DagangNews Skip to main content

Syed Agil Syed Hashim kini CEO Majuperak Holdings, Ahmad Izral Abdul Karim sebagai CFO mulai 1 Nov 2022

Syed Agil Syed Hashim
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 31 Okt - Majuperak Holdings Bhd mengumumkan pelantikan Syed Agil Syed Hashim sebagai ketua pegawai eksekutif kumpulan, menggantikan  Nizran Noordin yang tamat kontraknya sebagai CEO hari ini. 

 

Nizran, 45, dilantik sebagai CEO Majuperak pada 1 November 2019, dan pengarah eksekutif di dalam lembaga pengarahnya pada 10 Jun 2020, menurut pemfailan kumpulan itu di Bursa Malaysia.

 

Beliau bercuti sejak 2 September lalu untuk melunaskan baki cuti sebelum kontraknya tamat dan memudahkan peralihan kepada pasukan kepimpinan baharu.


 

Nizran Noordin
                          Nizran Noordin

 


Syed Agil, yang akan memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif pada 1 November 2022, telah berkhidmat sebagai pemangku Ketua Pegawai Eksekutif sejak 5 September semasa ketiadaan Nizran.

 

Syed Agil, 50, berkhidmat dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) sebagai timbalan ketua eksekutif mulai 2021, sebelum menyertai Majuperak sebagai pengurus besar kewangan korporat pada 1 Julai 2022. Pada 29 Ogos, beliau dinamakan sebagai CFO kumpulan itu.

 

Majuperak, yang kebanyakannya terlibat dalam pembangunan hartanah, adalah 51.41% dimiliki oleh PKNP, menurut laporan tahunan 2021.

 

Pemegang saham besar lain termasuk KUB Malaysia Bhd dengan 5.07% kepentingan dan G Capital Bhd dengan 7.67% kepentingan.

 

Sementara itu, Majuperak melantik Ahmad Izral Abdul Karim, 46, sebagai CFO baharunya.

 

Beliau mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam korporat, kewangan, perakaunan, audit dan pematuhan, perancangan strategik, perolehan, penstrukturan dan pentadbiran perniagaan, kata kumpulan itu.

 

Saham Majuperak ditutup tidak berubah pada 25 sen, menilai kumpulan itu pada RM71 juta. - DagangNews.com