Syed Saddiq diperintah bela diri berhubung 4 pertuduhan | DagangNews Skip to main content

Syed Saddiq diperintah bela diri berhubung 4 pertuduhan

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR 28 Okt - Mahkamah Tinggi memerintahkan Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membela diri berhubung empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram, demikian menurut laporan Harian Metro.

 

Keputusan itu dibacakan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap semua pertuduhan di akhir kes pendakwaan itu.

 

"Saya sudah meneliti hujah dikemukakan pihak pendakwaan selepas memberi pertimbangan maksimum seperti ditetapkan undang-undang dan berpuas hati semua pertuduhan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

 

"Tertuduh diarahkan membela diri atas setiap pertuduhan terbabit. Ada tiga pilihan iaitu pertama berdiam diri dengan tidak menjawab pertuduhan atau kedua memberikan kenyataan tidak bersumpah tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.

 

"Pilihan ketiga pula, memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dari kandang saksi dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas," katanya.

 

Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan untuk Syed Saddiq membela diri bermula 22 hingga 24 Februari serta 13 dan 14 Mac dan 10 hingga 14 April tahun hadapan.

 

Terdahulu, penyandang kerusi Parlimen Muar itu yang memakai kot biru gelap tiba di Kompleks Mahkamah di sini kira-kira 9.15 pagi dengan ditemani ibu bapanya serta Setiausaha Agung Muda, Amir Hariri Abd Hadi.

 

Sekumpulan penyokongnya turut hadir di perkarangan luar kompleks mahkamah sebagai tanda solidariti terhadap beliau.

 

Pada 27 September lalu, pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula 21 Jun manakala pendakwaan serta pembelaan selesai berhujah pada 6 Oktober. - DagangNews.com