Synergy Group laksana pemasangan lampu LED bantu kediaman jimat penggunaan tenaga | DagangNews Skip to main content

Synergy Group laksana pemasangan lampu LED bantu kediaman jimat penggunaan tenaga

Rodziah Ismail memeriksa sistem lampu LED ketika pelancaran program di Pangsapuri Salvia, Kota Damansara.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Synergy Group memulakan program 'Sumber Cahaya dalam Kegelapan' secara rasminya, yang berikrar untuk membantu pengurusan bangunan kediaman di Selangor menjimatkan penggunaan tenaga sehingga 80% dengan kos pendahuluan sifar. 

 

Program berkenaan menyasarkan 12 majlis perbandaran di Selangor dan menjangkakan pemasangan lampu LED membabitkan lebih daripada 8,000 bangunan berstrata. 

 

Sejajar dengan inisiatif Smart Selangor, program oleh Synergy Group & ODESI bermatlamat untuk memudahkan visi kerajaan negeri Selangor untuk menjadikan Selangor sebagai Negeri Pintar dan Hijau yang lebih sesuai untuk didiami menjelang 2025.

 

Sumber Cahaya dalam Kegelapan berada di bawah Program Inisiatif Hijau LPHS yang meluas, disokong Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Rodziah Ismail yang menghadiri majlis bersalaman pada Ahad lalu di Pangsapuri Salvia di Kota Damansara, kondominium pertama yang menerima pemasangan projek ini di Petaling Jaya. 

 

Majlis bersalaman berkenaan turut dihadiri wakil LHPS, Nor Hanizan Sahib, Jayanthi Kuppusamy dari Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Ahmad Faizan Noordin dari Perbadanan Pengurusan Pangsapuri Salvia serta wakil Synergy Group dan Odesi.

 

Rodziah berkata, Selangor berbangga menjadi salah sebuah negeri pertama memacu inisiatif untuk menyaksikan masa hadapan yang lebih hijau dan lebih baik serta menjana penjimatan untuk penduduknya dan pengurusan bangunan berstrata. 

 

"Saya menggesa semua Badan Pengurusan Bersama dan Perbadanan Pengurusan untuk menyertai program ini memandangkan mereka boleh menikmati penjimatan dengan kos pendahuluan sifar. Kami benar-benar berharap dapat dilihat sebagai negeri contoh atas usaha kami dan berharap untuk memperoleh manfaatnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

synergy

 

 

Jayanthi pula berkata, selain daripada penjimatan yang sudah pun dinikmati daripada program ini, MBPJ menerima pakai Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon yang menawarkan rebat cukai kepada pemilik rumah yang telah melaksanakan inisiatif untuk menjadikan kediaman mereka lebih hijau dan mesra alam sekitar. 

 

"Skim ini berkongsi matlamat sama untuk memastikan Selangor bergelar Smart City yang memiliki emisi rendah karbon menjelang 2025,” katanya.

 

Dalam pada itu, turut diadakan acara penanaman pokok sebagai simbolik usaha menyelamatkan planet dan menanam kapsul masa yang mengandungi hasrat daripada LPHS, MBPJ, Synergy dan ODESI untuk 10 tahun akan datang.

 

 

synergy

 

 

Synergy Group menawarkan lampu LED yang paling tahan lama dan berpaten dengan jangka hayat selama 10 tahun dan menjimatkan lebih banyak tenaga sehingga 80% berbanding lampu lain di pasaran. 

 

Ia menjanjikan prestasi yang mengurangkan kos penggantian produk dan memaksimumkan penjimatan. 

 

Menerusi tempoh yang dipersetujui, Synergy Group yang bermodalkan RM400 juta melaksanakan program berkenaan dan penjimatan tenaga adalah setara dengan lebih daripada 3,700,000 tan pengurangan emisi CO2 dan mewakili penanaman lebih daripada 100,000,000 pokok bagi tempoh 10 tahun. - DagangNews.com