T7 Global jalin kerjasama dengan Poly Technologies promosi sistem pengesanan dadah visual pantas | DagangNews Skip to main content

T7 Global jalin kerjasama dengan Poly Technologies promosi sistem pengesanan dadah visual pantas

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Mac - T7 Global Berhad menerusi anak syarikatnya, T7 Solutions Sdn. Bhd. menjalinkan kerjasama dengan Poly Technologies Inc. bagi mempromosikan sistem pengesanan dadah visual pantas (IVDDS) dan beberapa penyelesaian keselamatan di Malaysia. 

 

T7 Global terlibat dengan tiga segmen perniagaan termasuk Tenaga, Aeorangkasa dan Pertahanan serta Pembinaan Infrastruktur.

 

Dari segi pertahanan, T7 Global memiliki kepakaran dalam penyelesaian keselamatan teknologi maklumat (IT) seperti Integrated Bridge Systems (IBS) dan Combat Management Systems (CMS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia.

 

Anak syarikatnya juga terlibat dengan perkhidmatan pembaikan dan penyelenggaraan untuk kapal komersial dan tentera laut selain membekalkan produk selain perkhidmatan kepada Kementerian Pertahanan.

 

Poly Technologies ialah syarikat pertahan berskala besar yang diberi kuasa oleh Kerajaan China untuk memodenkan penyelesaian pertahanan dan keselamatan untuk Tentera Darat, Tentera Laut, Tentera Udara, Polis dan Anti-Keganasan selain berjaya menjalinkan hubungan dengan lebih 100 negara sejak ditubuhkan pada 1984.

 

IVDDS adalah alat pengesan narkotik yang menggunakan sensor imej untuk memeriksa suspek serta boleh memberikan keputusan dalam tempoh 60 saat dan ia merupakan cara terbaik menjimatkan kos dan masa berbanding kaedah tradisional.

 

t7s

 

Pengerusi T7 Global, Datuk Seri Dr. Nik Norzrul Thani N. Hassan Thani berterima kasih kepada Poly Technologies kerana menjadikan mereka sebagai rakan strategik di Malaysia.

 

"Kerjasama strategik ini memberi peluang unik kepada kumpulan dalam meningkatkan tanggungjawab sosial korporat kami dengan berkhidmat kepada negara melalui pengenalan IVDDS di Malaysia. 

 

"Agenda utama kami adalah untuk membantu Polis Diraja Malaysia dalam mencegah penyalahgunaan dadah di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau juga berterima kasih kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani kerana meluangkan masa untuk melihat demonstrasi penggunaan IVDDS di ruang pameran di  Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022.

 

"Sebagai tambahan, kami akan bekerjasama dengan Poly Technologies untuk penyelesaian teknologi untuk pelbagai agensi keselamatan dan pengutkuasa undang-undang di negara iniselain meningkatkan sistem pertahanan negara," katanya. - DagangNews.com