KUALA LUMPUR 17 Nov - T7 Global Bhd. memperoleh 2 kontrak bernilai RM150 juta menerusi bahagian tenaganya membabitkan perkhidmatan dan operasi telaga bersepadu dan perniagaan penyelenggaraan.
Menurutnya, syarikat menerima surat anugerah daripada Petronas Carigali Sdn. Bhd. untuk pembekalan perkhidmatan penyumbat dan penamatan bersepadu bagi medan minyak M3, sah mulai 14 Oktober 2021 hingga 31 Disember 2022.
Satu lagi kontrak diperoleh daripada PTTEP Sabah Oil Limited, PTTEP Sarawak Oil Limited dan PTTEP HK Offshore Limited (secara terkumpul dirujuk sebagai PTTEP Group) membabitkan penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan penjana nitrogen Gastec dan alat ganti mulai 2 Julai 2021 hingga 1 Julai 2023.
Dalam kenyataan hari ini, Pengerusi T7 Global, Datuk Seri Dr. Nik Norzrul Thani N. Hassan Thani berkata, dengan meraih kontrak M3, ia secara tidak langsung meletakkan kedudukan syarikat sebagai pemain perkhidmatan telaga bersepadu di Malaysia.
Pada masa sama, katanya, ia turut mengukuhkan keupayaan teknikal syarikat dalam melaksanakan projek luar pesisir yang kompleks dalam rantaian nilai tenaga.
"Perkhidmatan telaga bersepadu, yang meliputi kerja-kerja pengeluaran telaga dan peninggalan telaga lama akan menjadi sebahagian daripada penyelesaian tenaga jangka panjang T7
"Oleh itu, kami kekal optimistik terhadap prospek industri minyak dan gas negara terutama apabila Petronas memaksimumkan pengeluaran minyak dalam tempoh terdekat dan menjangkakan 500 telaga akan dipasang secara kekal menjelang 2030," katanya.
Mengenai kontrak PTTEP pula, beliau berkata, ia menunjukkan komitmen berterusan syarikat untuk menyediakan perkhidmatan selepas jualan dan penyelesaian kitaran hayat untuk Sistem Penjanaan Nitrogen di Tapak Gastec.
Kedua-dua kontrak tersebut dijangka tidak memberi kesan material kepada terbitan modal saham T7 Global.
Bagaimanapun, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, 31 Disember 2022 dan 31 Disember 2023. - DagangNews.com