TA Securities jangka perbelanjaan pengguna berdaya tahan didorong kenaikan pendapatan isi rumah B40, prospek pertumbuhan ekonomi | DagangNews Skip to main content

TA Securities jangka perbelanjaan pengguna berdaya tahan didorong kenaikan pendapatan isi rumah B40, prospek pertumbuhan ekonomi

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 Okt - TA Securities menjangkakan perbelanjaan pengguna berdaya tahan terhadap barangan keperluan didorong oleh peningkatan pendapatan isi rumah kumpulan B40 dan prospek pertumbuhan ekonomi yang kembali normal berikutan kenaikan kadar faedah sebelum ini.

 

Memetik unjuran IMF terhadap pertumbuhan ekonomi global pada 2.9% berbanding anggaran pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 4% hingga 5% oleh Kementerian Kewangan (berbanding unjuran TA Research pada 5%), firma penyelidikan itu berkata ia menunjukkan ekonomi kembali ke tahap sebelum pandemik.

 

“Selain itu, dengan perbelanjaan peribadi secara sejarah menyumbang kira-kira 60% kepada jumlah keluaran dalam negara kasar (KDNK) benar Malaysia, kami menjangkakan pertumbuhan sederhana pada 2024, sejajar dengan pengembangan ekonomi yang lebih luas,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Di samping itu, firma tersebut berkata ia agak positif ke atas Bajet 2024 untuk sektor pengguna dengan berasa lega bahawa rasionalisasi subsidi bersasar hanya menjejas penggunaan diesel, sambil memastikan pengendali logistik akan terus mendapat manfaat daripada subsidi diesel untuk mengurangkan tekanan inflasi.

 

Selain itu, firma itu berkata peningkatan dalam pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah dan insentif lumayan untuk penjawat awam akan membantu mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup.

 

“Bagaimanapun, kekecewaan kami berpunca daripada ketiadaan struktur gaji baharu, terutamanya model gaji progresif, yang kami percaya boleh meningkatkan pendapatan demografi B40 secara berstruktur dan merangsang perbelanjaan swasta dalam sektor pengguna.

 

“Bagi kenaikan SST, kami berkecuali kerana kami tidak menjangkakan sebarang kesan besar, memandangkan sebarang kemungkinan gangguan sebagai jangka pendek dengan pemulihan seterusnya dalam perbelanjaan pengguna,” tambahnya.

 

Walaupun terdapat sedikit kekecewaan mengenai ketiadaan model gaji baharu dan pemangkin yang lebih kukuh untuk meningkatkan penggunaan pengguna, TA Securities mengekalkan saranan ‘overweight’ pada sektor pengguna.

 

Oleh itu, firma itu menjangkakan syarikat peruncit barangan keperluan dan murah, khususnya Aeon Co. (M) Bhd (beli, harga sasaran [TP]: 1.57) dan Padini Holdings Berhad (beli, TP: RM4.70), bakal mendapat manfaat utama.  - DagangNews.com