TA Securities positif terhadap prospek Sunway Construction disokong buku pesanan tertunggak sebanyak RM7.4 bilion | DagangNews Skip to main content

TA Securities positif terhadap prospek Sunway Construction disokong buku pesanan tertunggak sebanyak RM7.4 bilion

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Ogos - TA Securities positif terhadap prospek Sunway Construction Group Bhd disokong keterlihatan pendapatan yang kukuh daripada buku pesanan tertunggak sebanyak RM7.4 bilion pada akhir Jun, bersamaan dengan 2.8x hasil FY23.

 

Katanya, potensi pertumbuhan mungkin didorong peningkatan pekerjaan bagi pusat data, yang biasanya menawarkan nilai projek yang lebih tinggi dengan masa pendahuluan yang lebih pendek disebabkan oleh permintaan mendesak daripada syarikat IT.

 

"Selain itu, kumpulan itu telah menyelaraskan semula fokus dan sumbernya ke arah industri projek teknologi canggih (ATP), dengan buku tender yang kukuh bernilai RM13.7 bilion, yang kesemuanya berkaitan dengan industri berkenaan.

 

"Ia meletakkan Sunway Construction dalam kedudukan yang baik bagi memanfaatkan peluang mengukuhkan kehadirannya dalam ruang ATP selain memanfaatkan kepakaran bersepadu kepada industri pembinaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan pada 2QFY24 melonjak 18% kepada RM38.9 juta berbanding RM33 juta setahun lalu manakala perolehan meningkat 7.8% kepada RM651 juta, daripada RM604 juta dipacu oleh prestasi lebih baik daripada segmen pembinaan.

 

Bagi 1HFY24, kumpulan itu menyaksikan peningkatan dalam keuntungan bersihnya sebanyak 17% kepada RM71 juta berbanding RM60.8 juta sebelumnya, manakala hasil meningkat 11.5% kepada RM1.26 bilion daripada RM1.1 bilion.

 

Firma penyelidikan itu berkata, berikutan pengumuman Amazon Web Services (AWS) akan melabur AS$6.2 bilion (RM29 bilion) di Malaysia sehingga tahun 2038 bagi membina tiga Zon Ketersediaan dengan kuasa bebas, penyejukan dan keselamatan fizikal.

 

Mereka percaya Sunway Construction akan menjadi pelopor untuk projek baharu itu, memandangkan rekod prestasinya yang kukuh dalam pembinaan pusat data.

 

"Dengan mengandaikan setiap Zon Ketersediaan termasuk kemudahan 50MW dan kos pembinaan dianggarkan pada AS$6 juta hingga AS$10 juta per MW, ketiga-tiga zon itu boleh menyumbangkan nilai pembinaan kasar berjumlah kira-kira AS$900 juta hingga AS$1.5 bilion," katanya.

 

TA Securities mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM6.15 sesaham. - DagangNews.com