TA Securities ramal TIV 2024 susut 18% kepada 650,000 unit | DagangNews Skip to main content

TA Securities ramal TIV 2024 susut 18% kepada 650,000 unit

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 April - TA Securities meramalkan jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) susut 18% kepada 650,000 unit pada tahun ini disebabkan ketiadaan insentif cukai dan penurunan kadar tempahan.

 

Katanya, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), TIV bulanan meningkat semula pada Mac 2024 didorong kempen promosi hari raya dan penghantaran pantas daripada pengeluar bagi menutup tahun kewangan pada 31 Mac 2024.

 

TIV meningkat sebanyak 10.5% dari bulan ke bulan tetapi susut 9.9% dari tahun ke tahun, mencecah 71,100 unit pada bulan lalu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, segmen kenderaan penumpang meningkat sebanyak 9% dari bulan ke bulan kepada 64,800 unit, manakala segmen kereta komersial juga meningkat sebanyak 29.6% dari bulan ke bulan kepada 6,300 unit.

 

Bagaimanapun, pada asas tahun ke tahun, kedua-dua segmen masing-masing susut 8.7% dan 20.8%. 

 

"TIV kini berada pada 202,200 unit didorong oleh jualan dalam segmen kereta penumpang sebanyak 185,000 unit yang mengimbangi penurunan dalam segmen kenderaan komersial kepada 17,300 unit.

 

"Melangkah ke hadapan, MAA menjangkakan TIV akan lebih rendah pada April berikutan tempoh bekerja yang singkat sempena perayaan sambutan hari raya," katanya dalam satu nota kajian.

 

TA Securities berkata, Perodua mencatatkan volum jualan yang lebih tinggi sebanyak 28,900 unit pada Mac 2024, manakala Proton mencatatkan jumlah lebih rendah sebanyak 12,400 unit.

 

Katanya, kedua-dua jenama mencatatkan jualan yang lebih rendah pada asas tahun ke tahun, sehingga kini Perodua mencatatkan pertumbuhan 9.3% kepada 85,900 unit, manakala Proton mengalami penurunan sebanyak 3.5% kepada 38,500 unit.

 

"Gabungan bahagian pasaran kereta nasional menyusut kepada 67.2% berbanding 68.9% dalam tempoh yang sama tahun lepas bagi jumlah pasaran penumpang," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' untuk sektor itu dan 'jual' terhadap MBM Resources Bhd dengan harga sasaran (TP) RM4.13 serta Bermaz Auto Bhd dengan TP, RM2.33 sesaham.- DagangNews.com