TA Securities unjur propek sektor semikonduktor Malaysia bertambah baik disokong pemulihan permintaan global | DagangNews Skip to main content

TA Securities unjur propek sektor semikonduktor Malaysia bertambah baik disokong pemulihan permintaan global

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Mac -  TA Securities mengunjurkan prospek sektor semikonduktor di Malaysia bertambah baik secara beransur-ansur, disokong oleh jangkaan pemulihan permintaan di peringkat global.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Inari Amertron Bhd and Malaysian Pacific Industries Bhd (MPI) merupakan pilihan utamanya dalam sektor itu.

 

Mereka kekal optimis terhadap prospek Inari (harga sasaran (TP): RM3.55) disokong oleh sumbangan pendapatan yang sihat daripada segmen frekuensi radionya.

 

"Selain itu, kami percaya kilang baharu di China akan menjadi pemacu pendapatan seterusnya apabila sektor semikonduktor di China mula meningkat.

 

"Sementara itu, kami juga menyukai MPI (TP: RM32.35) didorong pengukuhan portfolio produknya dan strategi yang tertumpu kepada automotif,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

TA Securities berkata, kumpulan itu akan terus memberi tumpuan kepada pasaran kenderaan elektrik China, dengan sasaran untuk segmen automotif menyumbang lebih 50% daripada hasil kumpulan dalam beberapa tahun akan datang.

 

"Sementara itu,kami menyemak naik penarafan Elsoft Research Bhd (TP: 59 sen) daripada 'pegang' kepeada 'beli' memandangkan potensi ganjaran yang lebih baik berbanding sebelum ini.

 

"Pada masa sama kami mengekalkan saranan 'pegang' ke atas Unisem (M) Bhd (TP: RM3.56),” katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor itu dan berpendapatan terdapat beberapa cabaran yang akan dihadapi termasuk ketegangan geopolitik yang semakin meningkat yang menjejaskan pertumbuhan ekonomi serta mengganggurantaian bekalan.

 

Selain itu, sektor itu juga berhadapan cabaran jualan lebih lemah daripada jangkaan serta kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). - DagangNews.com