Tabung Haji agih keuntungan 3.1% bagi 2020 | DagangNews Skip to main content

Tabung Haji agih keuntungan 3.1% bagi 2020

 

 

KUALA LUMPUR 2 Mac - Lembaga Tabung Haji mengagihkan keuntungan yang lebih baik sebanyak 3.10% selepas zakat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 kepada kira-kira 9 juta pendepositnya.

 

Agihan ini lebih tinggi berbanding 3.05% pada 2019. 

 

Menurut kenyataan hari ini, agihan keuntungan bagi 2020 berjumlah RM2.24 bilion berbanding RM2.14 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, prestasi kewangan Tabung Haji pada 2020 kekal positif meskipun persekitaran ekonomi negara dan dunia berada dalam keadaan tidak menentu sejak penghujung 2019 akibat pandemik COVID-19.

 

“Alhamdulillah, pendeposit dapat menikmati keuntungan yang lebih baik bagi 2020 walaupun berdepan ekonomi yang kurang baik tahun lepas. 

 

"Sebagai institusi yang memegang amanah mengurus hampir RM77 bilion deposit umat Islam Malaysia, Tabung Haji akan terus memastikan dana ini dilaburkan dengan selamat agar kekal mapan," katanya.

 

Setakat 26 Februari 2021, jumlah deposit di Tabung Haji telah mencecah RM76.7 bilion iaitu paras tertinggi dalam sejarah, sekali gus mencerminkan keyakinan pendeposit terhadap Tabung Haji kekal utuh.

 

Pada masa sama, Tabung Haji turut melunaskan pembayaran zakat sebanyak RM106.2 juta bagi 2020 berbanding RM86 juta pada 2019. 

 

Oleh itu, para pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan dan agihan keuntungan yang diterima. 

 

Pembayaran zakat ini akan memberi manfaat kepada golongan asnaf yang memerlukan di seluruh negara.

 

Urus niaga Tabung Haji akan ditangguhkan sementara waktu bermula pukul 8 malam, Selasa, 2 Mac 2021 sehingga pukul 12 tengah hari, Rabu, 3 Mac 2021, bagi melancarkan urusan agihan keuntungan. 

 

Para pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing selepas pukul 12 tengah hari pada hari Rabu, 3 Mac 2021. 

 

Semakan boleh dibuat menerusi aplikasi THiJARI, kaunter TH, Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik Tabung Haji iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB. - DagangNews.com