ALAIA Titiwangsa akan menjadi kediaman pertama di Malaysia yang mengutamakan pembangunan komuniti.
KUALA LUMPUR 14 Dis - Pemaju hartanah butik, Tago (M) Sdn. Bhd. melancarkan pembangunan terbarunya, ALAIA Titiwangsa, sebuah projek pangsapuri servis yang terletak di tengah-tengah bandar.
Terletak di Taman Tiara Titiwangsa, Kuala Lumpur, projek pegangan pajakan seluas 1.6 ekar ini mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM273 juta.
ALAIA dilancarkan sempena majlis menandatangani perjanjian jual beli (SPA) dengan pelanggannya pada 11 dan 12 Disember lalu.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Tago, Daryl Chew, maklum balas daripada pembeli rumah terhadap projek itu amat menggalakkan, terutama dari segi komuniti yang ingin dibina oleh pemaju.
Katanya, ALAIA memenuhi atau melebihi permintaan dengan kedua-dua tempat yang berpusatkan komuniti dan juga individu.
"Setakat ini, sebanyak 83% daripada jumlah 436 unit telah pun dibeli pada hujung minggu lalu sempena pelancaran ALAIA Titiwangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.
ALAIA juga mempunyai akses terus ke Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) yang hanya 1.2 kilometer dari tempat penginapan ini, menjadikan perjalanan harian mudah untuk penduduk bandar.
Jika penduduk ingin menggunakan pengangkutan awam, pangsapuri ini menyediakan van untuk menghantar mereka ke LRT atau MRT Titiwangsa yang berdekatan untuk kemudahan mereka.
Chew berkata, ALAIA dibina setelah sambutan positif daripada pemilik rumah terhadap projeknya yang terutama Anjali North Kiara dengan matlamatnya untuk memberi peluang kepada penduduk membina hubungan dan semangat kejiranan.
"Bagi ALAIA, matlamat ini akan dicapai melalui reka bentuk estetika namun praktikal dan mempunyai pengurus komuniti sepenuh masa untuk memacu pembinaan komuniti," katanya.
Dengan pendekatan yang mengutamakan penduduk, ALAIA akan menjadi kediaman pertama di Malaysia yang mengutamakan pembangunan komuniti. Pembangunan ini dijangka siap pada akhir 2025. - DagangNews.com