Takaful Ikhlas dan MAIPk meterai MoU tingkatkan pengurusan wakaf di Perak | DagangNews Skip to main content

Takaful Ikhlas dan MAIPk meterai MoU tingkatkan pengurusan wakaf di Perak

Muhammad Fikri Mohamad Rawi (kiri) dan Shahrul Azam Shaari di majlis menandatangai MOU di Ipoh, Perak.

KUALA LUMPUR 1 Julai – Takaful Ikhlas Family Berhad, anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk).

 

Kerjasama ini memberi tumpuan kepada pengurusan dan pembangunan program wakaf di negeri Perak dengan matlamat untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat, komuniti asnaf, dan belia di negeri tersebut.

 

Majlis menandatangai MOU tersebut telah disempurnakan oleh Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Family Berhad, Muhammad Fikri Mohamad Rawi dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak, Shahrul Azam Shaari, di satu majlis yang diadakan di Ipoh, Perak.

 

Aktiviti dan program yang telah dirangka di bawah jalinan kerjasama ini turut disokong oleh platform pengumpulan dana patuh syariah Takaful Ikhlas iaitu Ikhlas Barakah House (IBH).

 

IBH telah ditubuhkan oleh Takaful Ikhlas dengan tujuan untuk menjana pembangunan dan kelestarian masyarakat yang positif melalui bantuan kewangan dan aktiviti-aktiviti yang merangkumi penglibatan masyarakat dengan lima fokus utama iaitu pemerkasaan bidang pendidikan, ekonomi, komuniti, kesihatan dan juga alam sekitar.

 

Selain daripada pengurusan dan sumbangan dana wakaf, melalui kerjasama ini, Takaful Ikhlas dan pihak MAIPk juga akan menganjurkan Program Keusahawanan Asnaf (AEP) dan Program Keusahawanan Belia (YEP) untuk menyediakan pengetahuan, latihan dan kemahiran yang diperlukan dalam perniagaan dan pembangunan diri kepada komuniti asnaf dan belia di Perak.

 

Mengulas mengenai kerjasama ini, Muhammad Fikri berkata, “Saya yakin kerjasama yang terjalin antara Takaful Ikhlas dan MAIPk ini dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di negeri Perak. Dengan kerjasama ini saya berharap dapat sama-sama meningkatkan lagi kesedaran di kalangan rakyat di negeri Perak untuk memiliki perlindungan takaful dan amalan berwakaf”.

 

Kami juga percaya bahawa kursus dan latihan keusahawanan yang disediakan melalui program AEP dan YEP akan membantu membina semangat keusahawanan dan meningkatkan kesejahteraan komuniti asnaf dan belia, seterusnya menyumbang kepada peningkatan ekonomi masyarakat di negeri Perak.” ujar Muhammad Fikri. - DagangNews.com