Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 16 Nov - Taliworks Corp. Bhd. berupaya meraih peluang yang saksama dengan memperoleh sebahagian daripada kerja-kerja loji rawatan air (WTP), setelah mengambil kira pengalamannya dalam projek Fasa 1 Sungai Selangor (SSP1).
Penganalisis CGS-CIMB, Sharizan Rosely berkata, ini berikutan penyertaan Taliworks dalam tender Skim Bekalan Air Sungai Rasau di Selangor yang dijangka diketahui akhir tahun ini.
"Selain Taliworks, laporan media sebelum ini mendedahkan terdapat 9 pembida menyertai tender ini dengan pakej dianggarkan bernilai antara RM1.7 hingga RM2 bilion," katanya dalam nota kajian hari ini.
Berdasarkan laman web Air Selangor, melalui Skim Bekalan Air Rasau ini, sebanyak 5 sehingga 10 kolam bekas perlombongan bijih timah telah dikenal pasti sebagai sumber air yang berpotensi untuk dijadikan fasiliti penyimpanan air luar sungai (ORS).
Kolam-kolam yang pelbagai saiz ini, yang mana kolam terbesarnya berkeluasan 164 hektar, terletak di daerah Sepang dan Petaling.
Dengan peningkatan ketara kualiti air di Sungai Klang, sungai tersebut kini menjadi sumber air yang berpotensi tinggi.
Malah, kolam-kolam ini berpotensi untuk meyimpan sumber air mentah yang disalurkan terutamanya dari Sungai Klang, dan sebahagiannya dari Sungai Air Hitam dan Sungai Rasau.
Menurut Air Selangor, tanpa Loji Rawatan Air Rasau, margin rizab air semasa di Klang akan menurun kepada 1.9% pada 2024.
Skim Bekalan Air Rasau dijangka mempunyai kapasiti untuk menghasilkan bekalan air bersih hingga 700 juta liter sehari (JLH) ke Wilayah Klang menjelang selesainya tahap pertama projek ini pada 2024.
Selain Taliworks, dilaporkan 2 entiti kawalan kerajaan negeri Selangor turut menyertai tender berkenaan di samping IJM Corp. Bhd., Gamuda Bhd. dan Salcon Bhd. manakala pembida lain tidak diketahui.
Taliworks merekodkan prestasi suku ketiga berakhir 30 September 2021 yang mantap apabila untung bersih melonjak 256% kepada RM41.36 juta daripada RM16.18 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, dengan perolehan juga meningkat 23.82% kepada RM102.31 juta terutamanya didorong menerusi segmen tol.
Sebaliknya, segmen rawatan, pembekalan dan pengedaran air mengalami penurunan pendapatan berikutan tamatnya kontrak penswastaan Langkawi dengan kerajaan Kedah pada 31 Oktober 2020 serta pengurangan rebat elektrik dan bahan kimia daripada operasi Fasa 1 Loji Rawatan Air Sungai Selangor disebabkan kos elektrik dan bahan kimia yang lebih rendah.
CGS-CIMB bagaimanapun mengekalkan saranan 'tambah' terhadap Taliworks dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada 96 sen berbanding 93 sen sebelum ini disokong hasil dividen pada 8%.
Shahrizan berkata, ia turut menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2021 (FY21) sebanyak 17% dengan mengambil kira bayaran pampasan tol.
"Tetapi, FY22 dikurangkan sebanyak 2.6% ekoran pelaksanaan Cukai Makmur yang akan menjejaskan syarikat sekutunya, SWM Environment Holdings (yang memiliki 35% pegangan) dengan anggaran sebanyak RM14 juta ke atas keuntungan bercukai FY22.
"Ini akan dikurangkan menerusi tuntutan elaun modal ke atas perbelanjaan modal (capex) yang belum lagi dimuktamadkan oleh kumpulan bagi FY22. EPS bagi FY23 pula dinaikkan 4.4% berikutan pendapatan bersekutu yang kukuh," jelasnya.
Setakat 10.19 pagi ini, saham Taliworks menokok 2.5 sen atau 3.03% kepada 85 sen dengan 5.13 juta saham diniagakan. - DagangNews.com