KUALA LUMPUR 7 Feb - Prospek Sapura Energy Bhd. dilihat semakin lemah ekoran penamatan kontrak dengan Yunneng Wind Power Co Ltd berkaitan pengangkutan dan pemasangan ‘monopile’ di ladang angin luar pesisir Yunlin di Taiwan.
Sehubungan itu, AmInvestment Bank Research masih mengekalkan saranan 'jual' terhadap Sapura Energy dengan nilai wajar tidak berubah pada 3 sen sesaham.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research pula mengulangi saranan 'pegang' dengan harga sasaran pada 5 sen.
Pada Jumaat lalu, Sapura Engergy dalam makluman di Bursa Malaysia berkata, anak syarikat milik penuhnya, Sapura Offshore Sdn Bhd (SOSB) telah dianugerahkan kontrak itu pada Mac 2019.
Projek itu pada mulanya dijangka siap pada September 2020 tetapi ditangguhkan hingga September 2023 berikutan isu teknikal dan operasi yang tidak dapat diselesaikan, ia tidak dikaitkan dengan Sapura Energy. Perubahan itu telah mengubah asas kontrak dengan ketara.
Kerja-kerja berkenaan berada pada tahap 36.85% siap pada tarikh penamatan kontrak tersebut. Malah, Yunneng Wind Power telah melanggar perjanjian dengan membuat tuntutan yang ditangguh sementara waktu.
Berikutan notis penamatan itu, Sapura Energy akan meneruskan tuntutannya melalui proses penyelesaian pertikaian yang ditetapkan dalam kontrak iaitu timbang tara di bawah Institusi Timbang Tara Jerman di Bremen, Jerman.
Dalam nota kajian hari ini, penganalisis AmInvestment, Alex Goh berkata, walaupun pengumuman itu menunjukkan penamatan kontrak tidak memberi kesan kepada pendapatan bagi tahun kewangan 2022 (FY22), tetapi peruntukan Yunlin dalam tempoh 9 bulan FY22 mungkin tidak mencukupi terhadap sebarang tuntutan balas oleh pelanggan, jika berjaya.
"Kami memahami yang pengurusan sebelum ini cuba untuk menuntut kos tambahan sebanyak RM300 juta yang disebabkan kelewatan akibat COVID-19 bagi projek ladang angin luar pesisir Yunlin dan projek KG-DWN 98/2 Oil and Natural Gas Corporation (ONGC).
"Tetapi, seperti yang pernah kami nyatakan tahun lalu, tidak ada ketentuan dalam pemulihan ini," jelasnya.
Beliau juga tidak pasti sama ada rundingan Sapura Energy dengan ONGC berhubung projek platform pemprosesan berpusat, KD-DWN 98/2 yang tertangguh akibat pandemik akan berdepan nasib yang sama.
Katanya, dengan peruntukan yang berpotensi lebih tinggi dan isu kecairan daripada dasar kredit vendor yang lebih ketat, landskap operasi bagi Sapura masih kekal suram berikutan prospek penghantaran dan margin yang tidak menentu pada masa hadapan yang sukar dijangka.
"Walaupun hutang jangka pendek kumpulan sebanyak RM7 bilion akan diklasifikasikan semula kepada hutang jangka panjang selepas menerima penepian bank daripada pelanggaran syarat perjanjian untuk hutang RM10 bilion, tetapi isu ini mungkin berterusan dalam beberapa suku akan datang.
"Ini kerana Sapura Energy dijangka mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) negatif untuk 2 tahun akan datang," katanya.
Sementara itu, penganalisis HLIB, Jeremy Yap berpendapat, keputusan Sapura Energy menamatkan kontrak itu mungkin akan berlarutan dalam tempoh yang lebih lama.
"Tetapi, bagi kami, ia masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan terhadap perkembangan ini kerana kekurangan makluman semasa seperti impak kepada pendapatan, jumlah yang boleh dituntut daripada Yunneng dan kemungkinan tuntutan balas," jelasnya.
Namun, beliau menjangkakan halangan semasa dan ketidaktentuan akan berterusan sehingga suku keempat FY22 dan FY23.
"Kami juga berpendapat, Sapura Energy akan memerlukan lebih banyak masa dan usaha untuk memulihkan semula operasinya yang mana dijangka tidak akan berlaku dalam tempoh 12 bulan akan datang," katanya.
Setakat 10.22 pagi ini, saham Sapura Energy susut 0.05 sen atau 9.09% kepada 5 sen dengan 4.99 juta saham diniagakan. - DagangNews.com