Tan Sri Rashid Hussain mahu selesaikan 'isu legasi', keutamaan sebaik dilantik Pengerusi Tabung Haji | DagangNews Skip to main content

Tan Sri Rashid Hussain mahu selesaikan 'isu legasi', keutamaan sebaik dilantik Pengerusi Tabung Haji

TAN SRI ABDUL RASHID HUSSAIN. /Gambar TH

KUALA LUMPUR 2 April - Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, keutamaan beliau sebaik dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji akhir tahun lalu adalah untuk menyelesaikan isu legasi - merujuk masalah yang diwarisi berkait dengan dana pengurusan jemaah haji itu.

 

Bagaimanapun, bekas tokoh perbankan itu tidak menyatakan secara khusus isu warisan atau legasi yang perlu diselesaikannya ketika ditanya media sewaktu majlis pengumuman agihan keuntungan Tabung Haji 2023.

 

Abdul Rashid menekankan adalah penting untuk menstabilkan kunci kira-kira Tabung Haji bagi mengekalkan pendapatan yang mampan untuk masa hadapan.

 

Selain itu, beliau berkata, Tabung Haji perlu memperkukuh pasukan pelaburannya yang juga merupakan satu lagi keutamaan bagi pengerusi yang baharu dilantik itu.

 

"Tabung Haji adalah sebuah institusi yang sangat mantap dengan sejarah selama kira-kira 60 tahun. 

 

"Ia mempunyai banyak isu warisan, jadi jelas perkara pertama adalah untuk menyelesaikan isu-isu warisan dan menstabilkan kunci kira-kira untuk mengekalkan kelestarian pendapatan untuk masa depan," katanya hari ini.

 

Selain itu, Abdul Rashid berkata, kebimbangan lain ialah kenaikan kos menunaikan haji yang perlu ditanggung oleh pendeposit serta Tabung Haji melalui subsidi yang diberikannya.

 

"Kebimbangan utama saya untuk masa depan ialah peningkatan kos dalam mengerjakan haji, 85% daripada kos menunaikan haji adalah luaran — agensi, pengangkutan dan penginapan. 

 

"Dalam jangka panjang, punca kebimbangan adalah jika kita terpaksa mengurangkan subsidi atau hanya memberi subsidi kepada segmen termiskin,” katanya.

 

Terdahulu, Tabung Haji menyatakan bahawa kos menunaikan haji telah meningkat kira-kira 8% daripada RM30,850 seorang pada 2023, kepada RM33,300 tahun ini didorong kos penginapan yang tinggi di Mekah dan Madinah berikutan pembangunan pesat di bandar suci umat Islam itu.

 

Tab

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pengasas RHB Bank, Tan Sri Rashid Hussain diumum sebagai pengerusi baharu Tabung Haji

 

Bagi musim haji tahun ini, kos haji daripada kumpulan B40 ditetapkan sebanyak RM12,356, manakala RM19,152 bagi Kumpulan M40 selepas ditolak subsidi oleh Tabung Haji.

 

Berikutan peningkatan perbelanjaan haji, Tabung Haji telah memperuntukkan bantuan kewangan berjumlah 63% daripada kos haji untuk golongan B40, dan 42% untuk golongan M40.

 

Bagi kumpulan T20, sama seperti tahun lalu, jemaah haji dikehendaki membuat bayaran penuh sebanyak RM33,300.

 

Abdul Rashid dilantik sebagai pengerusi Tabung Haji pada 20 Disember 2023, mengambil alih jawatan Tan Sri Azman Mokhtar yang telah berkhidmat selama dua tahun mulai 20 Disember 2021.

 

Abdul Rashid merupakan pengasas bersama Rashid Hussain Securities dan Kumpulan Perbankan RHB, tetapi kini tidak lagi mempunyai kaitan dengan bank tersebut. 

 

Beliau juga merupakan salah seorang daripada enam ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja Tabung Haji yang ditubuhkan pada 2022 untuk menyemak operasi dana dalam tempoh 2014-2020. - DagangNews.com