Tan Sri Soh Thian Lai dipilih semula sebagai presiden FMM untuk penggal 2024-2025 | DagangNews Skip to main content

Tan Sri Soh Thian Lai dipilih semula sebagai presiden FMM untuk penggal 2024-2025

KUALA LUMPUR 22 Feb - Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) telah memilih semula Tan Sri Soh Thian Lai sebagai presiden dalam barisan majlis baharu FMM bagi penggal 2024-2025.

 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang merasmikan Majlis Angkat Sumpah dan Malam Media Majlis FMM malam tadi berkata, Soh dan semua ahli Majlis FMM telah dipilih pada mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-55 yang berlangsung Disember lalu.

 

“Melihat kepada 55 tahun FMM, sejak penubuhannya pada 1968, dengan sokongan padu dan komitmen FMM, ia benar-benar memainkan peranan penting terutama dalam membangunkan sektor pembuatan.

 

“Sektor pembuatan adalah sektor penting bagi negara dan jika dilihat pada eksport, 80 peratus daripada eksport kita adalah daripada sektor pembuatan.

 

"Jadi, perwakilan aktif anda dalam pelbagai jawatankuasa kerajaan, serta panel, adalah sangat penting kepada saya dan Kementerian, dan sudah tentu kepada kerajaan," kata Tengku Zafrul, Bernama melaporkan.

 

Beliau berkata sektor pembuatan juga antara sektor penting yang menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) kerana sektor itu menyumbang kepada 24 peratus daripada 3.7 peratus pertumbuhan KDNK yang diumumkan baru-baru ini.

 

“Sektor ini juga menyumbang saiz yang cukup bermakna dari segi tenaga kerja di Malaysia. Kira-kira 17 peratus tenaga kerja kami adalah daripada sektor pembuatan.

 

"Dari segi penilaian, hari ini, nilai sektor pembuatan hampir RM370 bilion. Dari segi eksport, pada 2010, eksport sektor pembuatan adalah sekitar RM490 bilion. Hari ini, hampir RM1.5 trilion. Jadi , ia telah meningkat lebih tiga kali ganda dalam tempoh 10 tahun," tambahnya.- DagangNews.com