Tanaman nanas bakal diperluas kepada 20,000 hektar | DagangNews Skip to main content

Tanaman nanas bakal diperluas kepada 20,000 hektar

Tanaman nanas

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Mac. - Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bakal meningkatkan keluasan tanaman nanas negara kepada 20,000 hektar berbanding keluasan semasa 16,000 hektar. 

 

Usaha tersebut akan dibuat dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu pada tahun 2021 hingga 2025.

 

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, ia bagi menampung permintaan tinggi bukan sahaja untuk pasaran eksport, malah untuk permintaan domestik.

 

"Buat masa ini, kapasti negara untuk mengeluarkan nanas ialah 400,000 tan metrik dengan nilai lebih RM500 juta setahun.

 

“Walaupun begitu, jumlah tersebut masih belum mencukupi untuk pasaran nanas MD2 di luar negara serta pasaran tempatan," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Insentif Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Prihatin Rakyat Pengusaha Nanas di Pusat Informasi Nanas, Laman Nanas MAEPS Serdang, hari ini.

 

.

 

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI, Dr. Anis Mahmod; Pengerusi LPNM, Datuk Dr. Sahruddin Jamal dan Timbalan Ketua Pengarah LPNM, Mohd. Khairulzamri M.Salleh.

 

Tambah beliau, nanas merupakan tanaman yang telah dikategorikan oleh pihak kerajaan sebagai Sumber Kekayaan Baru Negara susulan daripada permintaannya yang tinggi terutamanya pasaran eksport seperti varieti premium MD2.

 

Pada masa sama, beliau turut memberi kayakinan bahawa sektor nanas akan terus menjadi sektor yang berdaya maju.

 

.

 

Menilai kepada perkembangan pemulihan dan vaksinasi COVID-19, eksport nanas juga dijangka terus berkembang sebanyak 5% setahun bagi tempoh RMK-12 tersebut.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, cadangan untuk mewujudkan LPNM di negeri Sabah bagi meningkatkan pengeluaran dan meluaskan penanaman nanas negara menerima perkembangan positif.

 

Ujarnya, kunjungan rasmi di Kota Kinabalu pada 19 Februari baru-baru ini telah membincangkan beberapa perkara penting bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor.

 

Pertemuan tersebut membincangkan usaha untuk terus bekerjasama bagi memastikan pembangunan sektor pertanian dan menjamin keselamatan makanan negara.

 

“Ini adalah satu perkembangan positif bagi industri nanas keseluruhannya dan tindakan lanjut susulan perbincangan tersebut sedang diambil oleh MAFI bagi merealisasikan cadangan ini dalam masa terdekat," tambah beliau lagi. - DagangNews.com