Tanggapan kilang punca utama jangkitan COVID-19 jauh tersasar, kata Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

Tanggapan kilang punca utama jangkitan COVID-19 jauh tersasar, kata Tengku Zafrul

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Julai - Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan tanggapan bahawa kilang merupakan punca utama jangkitan COVID-19 di dalam masyarakat sebenarnya jauh tersasar. 

 

Beliau menekankan bahawa penutupan sepenuhnya kilang hanya akan memberi impak minimum kepada kawalan penularan COVID-19, tetapi sangat besar kepada para pekerja yang kehilangan mata pencarian dan juga rantaian bekalan terutamanya bekalan asas.

 

“Ahli Parlimen membangkitkan kerisauan tentang penularan COVID-19 melalui pelbagai kluster terutamanya kluster pembuatan atau lebih dikenali sebagai kluster kilang. Ya, memang benar mengesan kluster itu penting bagi mengenal pasti lokasi atau lokaliti di mana tindakan bersasar bagi kawalan dan pencegahan penularan jangkitan COVID-19 dapat dilaksanakan dengan berkesan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

 

“Tapi apa yang lebih kritikal ialah jumlah mutlak kes (absolute number of cases) di mana kes-kes sporadik dalam komuniti, yang menyumbang kepada 70% kes keseluruhan COVID-19, manakala di mana hanya 30% kes merupakan kes-kes kluster, termasuklah kluster-kluster dari sektor pembuatan. 

 

“Jika dilihat berdasarkan data dari KKM, kes penularan COVID-19 yang melibatkan sektor pembuatan hanya 5% hingga 10% dari jumlah kes keseluruhan kes COVID-19,” katanya dalam Laporan Laksana Ke-63 hari ini. 

 

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa kerajaan tidak mengambil mudah langkah untuk mengurangkan kadar jangkitan di tempat kerja. 

 

Sebagai contoh, kerajaan telah melancarkan Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) COVID-19 yang bertujuan membantu mempercepat vaksinasi khususnya bagi golongan pekerja. 

 

Menerusi program itu, kerajaan akan menyediakan bekalan vaksin, manakala pihak syarikat atau kilang akan memudah cara urusan logistik yang berkaitan. 

 

“Selain dari PIKAS, kerajaan telah pun mengumumkan inisiatif seperti Safe@Work dan insentif potongan cukai bagi ujian saringan. Kerajaan juga bersetuju untuk memberi potongan cukai ke atas perbelanjaan merangkumi kos peralatan dan perkhidmatan penyediaan PPV oleh majikan. 

 

“Selain itu, potongan cukai ke atas sumbangan COVID-19 melalui projek komuniti atau amal juga diperluaskan meliputi sumbangan kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV). 

 

“Setakat 23 Julai 2021, sejumlah 16,697 syarikat melibatkan lebih daripada 1.2 juta pekerja telah berdaftar dengan PIKAS. Daripada jumlah tersebut, seramai 255,705 orang pekerja telah menerima dos pertama dan sebanyak 20,832 telah menerima dos kedua,” ujar beliau lanjut. - DagangNews.com