Tanggungan opex dijangka kekal tinggi, EPS Pentamaster dikurangkan hingga 7% | DagangNews Skip to main content

Tanggungan opex dijangka kekal tinggi, EPS Pentamaster dikurangkan hingga 7%

Pentamaster Corp Bhd (Pentamaster)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Jangkaan perolehan sesaham (EPS) syarikat Pentamaster Corp Bhd (Pentamaster) dikurangkan hingga 7% bagi tahun kewangan 2021 hingga 2023 (FY21-23).

 

CGS-CIMB Research berkata, pengurangan itu dibuat selepas mengambil kira tanggungan perbelanjaan operasi (opex) yang kekal tinggi.

 

"Kami masih menjangkakan kumpulan tersebut akan menanggung opex yang tinggi berkaitan kos permulaan bagi pejabat wilayah, kos bahan mentah serta kos pengangkutan yang lebih tinggi.

 

"Oleh itu, kami mengurangkan EPS bagi tahun kewangan 2021 hingga 2023 sebanyak 5 hingga 7%," jelas CGS-CIMB Research.

 

Bagi rekod, Pentamaster mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 13% berbanding suku sebelumnya kepada RM131 juta pada suku kedua 2021.

 

Prestasi itu dicapai susulan permintaan yang lebih tinggi terhadap peralatan ujian automatik (ATE) yang menyaksikan peningkatan jualan sebanyak 20% berbanding suku lalu.

 

Meskipun prestasi jualan yang ditonjolkan adalah lebih kukuh, margin GP Pentamaster turun 0.8% mata kepada 29% berbanding 29.8% pada suku pertama 2021.

 

"Kami berpendapat margin GP yang lebih rendah ini disebabkan oleh kos penyumberan luar yang lebih tinggi selain gabungan jualan yang kurang baik kecuali jualan dalam segmen semikonduktor.

 

"Secara keseluruhannya, keuntungan bersih pada suku kedua 2021 turun 13.6% kepada RM18.2%," jelas CGS-CIMB Research lagi.

 

CGS-CIMB Research turut membuat semakan saranan saham Pentamaster kepada 'pegang' berbanding 'tambah' pada sebelumnya di samping harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM5.60. - DagangNews.com