Taobao lancar antara muka berbahasa Inggeris, penuhi pemintaan ramai pengguna | DagangNews Skip to main content

Taobao lancar antara muka berbahasa Inggeris, penuhi pemintaan ramai pengguna

Taobao Malaysia melancarkan antara muka bahasa Inggeris beta bagi pengalaman membeli-belah yang lebih mesra pengguna dan mudah diakses.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Sept - Taobao Malaysia melancarkan antara muka (interface) bahasa Inggeris beta bagi pengalaman membeli-belah yang lebih mesra pengguna dan mudah diakses.

 

Taobao berkata, antara muka baharu itu merupakan respons kepada permintaan pelanggan yang semakin meningkat yang mahukan pilihan bahasa Inggeris. 

 

"Pendekatan ini akan menangani keperluan pengguna tempatan yang mencari kepelbagaian produk dan pengalaman membeli-belah unik, sekali gus membuka pintu kepada khalayak yang lebih luas," ujarnya dalam kenyataan hari ini. 

 

Selain itu, Tao Bao memperkenalkan tawaran baharu itu kepada  pasaran di Malaysia dan Singapura.  

 

Katanya, produk yang dikuasai oleh kecerdasan buatan (AI) itu akan terjemahkan di platform secara automatik serta menyokong pelanggan dalam kedua-dua bahasa Inggeris dan Cina bagi memastikan komunikasi yang cekap antara pengguna dengan platform.

 

"Dengan menawarkan penerangan produk yang terperinci dalam bahasa Inggeris, anggaran penukaran harga dalam Ringgit Malaysia (RM), serta antara muka pengguna yang lebih mudah yang memenuhi tabiat pengguna Malaysia, Taobao berhasrat untuk menjadikan pengalaman beli-belah global lebih lancar dan menyeronokkan," ulas Taobao. 

 

Pengurus Negara bagi Tmall Taobao World Malaysia, Jess Lew berkata, pelancaran antara muka beta bahasa Inggeris itu akan meningkatkan pengalaman beli-belah mereka dengan meminimumkan halangan bahasa. 

 

Pengurus Besar Tmall Taobao World, Jianqiu Ye menekankan pendekatan itu sejajar dengan matlamat syarikat mencipta platform membeli-belah yang inklusif.  

 

"Antara muka bahasa Inggeris beta Taobao merupakan bukti dedikasi kami untuk memenuhi keperluan pelanggan global kami yang pelbagai," kata beliau. 

 

Sementara itu, bersempena dengan pelancaran itu, pelanggan Taobao Malaysia boleh menikmati manfaat apabila membeli-belah di Taobao.

 

Antara manfaat itu termasuk penghantaran udara percuma bagi pembelian item fesyen melebihi RMB199, faedah pengguna baharu bernilai RMB65, pulangan percuma untuk pesanan pertama dan khidmat pelanggan dwibahasa.- DagangNews.com