Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 10 Nov - Tapway Sdn. Bhd. memperkenal VisionTrack, penyelesaian Visi kecerdasan buatan (AI) yang membantu pengilang menambah baik pemeriksaan mutu keluaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Tapway, Lim Chee How berkata, Vision Track merupakan platform pemeriksaan visual hujung ke hujung yang membolehkan sesiapa melatih dan menggunakan penyelesaian Visi AI yang dapat menangani keperluan kawalan mutu (QC).
Katanya, ia membantu pengurus QC melaksanakan kerja mereka dengan lebih cekap dengan mengenal pasti keluaran yang cacat secara automatik dan melakukan pengelasan sebelum produk keluar dari tertib pengeluaran.
“Dengan menggunakan VisionTrack, pengilang dapat menghapuskan tugas yang biasanya dilakukan oleh manuasia.
“Automasi memain peranan penting dalam usaha mempertingkatkan IR4.0 dalam aktiviti perkilangan dan pemgeluaran.
“VisionTrack kami dapat membantu pengilang mengubah pemeriksaan keluaran kepada proses yang jauh lebih cekap yang dilakukan oleh komputer yang terlatih,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, VisionTrack Tapway boleh digunakan oleh perniagaan pengilangan sebarang industri.
Menurutnya, Tapway Ketika ini sedang memasarkan penyelesaian tersebut kepada pengilang dalam industri perladangan dan makanan & minuman (F&B) di Malaysia.
“Tapway berhasrat untuk menghapuskan buruh berkemahiran rendah dan mengubah ekonomi dunia kepada tenaga kerja berkemahiran lebih tinggi, meningkatkan pengalaman dunia sebenar dan meningkatkan kecekapan operasi melalui personalisasi dan amaran pintar, dan akhirnya mempertingkat keselamatan dalam ruang fizikal,” katanya. -DagangNews.Com