Tarif air naik purata 22 sen semeter padu di Semenanjung dan Labuan mulai 1 Februari 2024 - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) | DagangNews Skip to main content

Tarif air naik purata 22 sen semeter padu di Semenanjung dan Labuan mulai 1 Februari 2024 - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)

Oleh Mohamad Iman

 

KUALA LUMPUR 17 Jan - Tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan membabitkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu akan berkuat kuasa bermula 1 Februari 2024, menurut pengumuman Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

 

Pelarasan ini dijangka membabitkan kira-kira 6.9 juta pengguna kategori domestik atau mewakili 86.6 peratus, daripada 7.9 juta pemegang akaun.

 

Kenaikan 22 sen itu adalah purata jumlah kenaikan bagi setiap 1,000 liter air yang digunakan.

 

Tarif baharu air itu dijangka membabitkan caj bil naik dalam julat antara RM1.60 hingga RM8 bagi setiap kediaman atau lima hingga 27 sen sehari bagi penggunaan isi rumah sebanyak 20 meter padu sebulan.

 

Penggunaan air domestik adalah dikesan sebanyak 237 liter per kapita setiap hari.


 

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)

 


Dalam kenyataannya, SPAN berkata, pelarasan tarif air ini akan dilaksanakan mengikut Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi pengguna kategori domestik.

 

Berdasarkan TSM, struktur dan komponen tarif akan diseragamkan untuk negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan manakala tarif air akan dikaji semula setiap tiga tahun untuk memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.

 

"Pelarasan tarif air bagi kategori domestik tidak lagi boleh ditangguhkan supaya tidak menjejaskan kemapanan industri perkhidmatan air dalam jangka masa panjang, sekali gus memberi impak kepada kualiti perkhidmatan bekalan air yang dinikmati rakyat.

 

"Kenaikan ini masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod sebenar 2022," kata SPAN.

 

Menurut SPAN, pelarasan tarif air yang mencerminkan kos bekalan air sangat penting bagi membolehkan operator air meningkatkan tahap perkhidmatan dalam membekalkan air yang berkualiti secara berterusan.

 

Katanya, bagi meminimumkan impak kenaikan ke atas bil air bulanan rakyat, operator bekalan air di negeri masing-masing diminta meneruskan inisiatif sedia ada iaitu memberikan bantuan kepada pengguna domestik secara bersasar antaranya pemberian rebat kepada golongan B40.

 

"Melalui semakan tarif ini, operator air lebih bersedia untuk membuat pelaburan berterusan bagi membangunkan infrastruktur sistem bekalan air seperti membina atau menaik taraf loji rawatan air dan membuat penggantian paip usang.

 

"Selain itu, operator air juga melaksanakan penyenggaraan secara berkala dan menangani aduan dengan lebih cekap demi menjamin kelangsungan perkhidmatan bekalan air dan sekali gus memenuhi jangkaan pengguna," kata kenyataan itu.


 

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)

 


Menurut SPAN, pihaknya mahu semua pengguna untuk bersama-sama mengamalkan penggunaan air secara berhemat.


Antara langkah-langkah yang boleh diamalkan termasuk:

i. menggunakan produk cekap air di bawah Skim Pelabelan Produk Cekap Air oleh SPAN;

ii. memeriksa dan membaiki sebarang kebocoran paip dan pili air di premis masing-masing; dan

iii. memasang sistem penuaian air hujan dan penggunaan air kitar semula sebagai sumber air alternatif untuk kegunaan bukan minuman.

 

SPAN mengawal selia industri air dan pembetungan di Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan berdasarkan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655). Pengawal seliaan oleh SPAN merangkumi aspek ekonomi, teknikal dan sosial.

 

SPAN mengawal selia entiti dalam industri perkhidmatan air dan pembetungan termasuk operator perkhidmatan bekalan air dan pembetungan, kontraktor bagi bekalan air dan pembetungan serta pemegang permit yang menjalankan kerja-kerja berkaitan air dan pembetungan serta pembekal bagi produk dalam industri perkhidmatan air. - DagangNews.com