Taufan Ida di AS beri manfaat kepada Lotte Chemical, Petronas Chemical  | DagangNews Skip to main content

Taufan Ida di AS beri manfaat kepada Lotte Chemical, Petronas Chemical 

Kira-kira 95% pengeluaran minyak dan gas AS di perairan teluk AS dihentikan sebagai persediaan bagi menghadapi impak taufan Ida. - Gambar hiasan

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Taufan Ida yang membadai selatan Louisiana, Amerika Syarikat (AS) pada Ahad lalu dilihat memberi manfaat kepada Lotte Chemical Titan Holding Bhd. (LCT) dan Petronas Chemical Bhd. 

 

Dalam hal ini, kemungkinan harga polyethylene (PE) dan mono ethylene glycol (MEG) boleh melonjak lebih tinggi.

 

Ida menghentam pesisiran pantai Louisiana sebagai ribut kategori 4 tetapi berkurangan kepada kategori 3 menjelang petang, kekuatan sama yang dimiliki Taufan Katrina ketika mula melanda pada 2005. 

 

Gabenor New Orleans, John Bel Edwards menyifatkan Ida mungkin menjadi ribut taufan paling kencang melanda negeri itu sejak 1850.

 

Menurut Penganalisis CGS-CIMB, Raymond Yap, taufan kategori 4 ini sebaliknya mungkin memberi impak positif kepada harga petrokimia. 

 

Ini kerana katanya, kira-kira 95% pengeluaran minyak dan gas AS di perairan teluk AS dihentikan sebagai persediaan bagi menghadapi impak ini termasuk platform pengeluaran luar pesisir, loji petrokimia dan penapisan minyak.

 

"Kemudahan LCT di AS bagaimanapun tidak mengalami sebarang kerosakan, sebaliknya ia boleh meraih manfaat dengan kenaikan harga (petrokimia). 

 

"Sementara itu, meskpiun Petronas Chemical tidak mempunyai pendedahan dalam pasaran petrokimia di AS, tetapi kesan kenaikan harga polypropylene (PP), PE dan MEG di AS akan dirasai di rantau Asia," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Taufan Ida tidak melepasi Tasik Charles, yang mana LCT mempunyai 20% kepentingan efektif ethane cracker dan 40% dalam loji MEG menyebabkan kilangnya tidak mengalami sebarang kerosakan fizikal dan terputus bekalan elektrik.

 

"Oleh itu, kemudahan LCT di AS mungkin boleh memanfaatkan kenaikan harga ethana atau MEG yang tinggi ini dalam beberapa minggu akan datang," katanya.

 

Namun, tambahnya, setakat ini, mereka tidak mempunyai maklumat selanjutnya mengenai sejauh mana kerosakan kilang dan gangguan bekalan elektrik ini yang dijangka diketahui lebih jelas dalam tempoh sehari atau dua hari lagi.

 

Firma itu menaik taraf saranan LCT kepada 'tambah' berbanding 'pegang' sebelum ini dengan harga sasaran disemak lebih tinggi kepada RM2.92.   

 

Bagi Petronas Chemical pula, ia mengulangi saranan 'tambah' memandangkan harga PE dan MEG yang melonjak semakin mengukuhkan jangkaannya terhadap prospek separuh kedua yang mantap. Harga sasaran juga tidak berubah pada RM9.50. 

 

Menurut Raymond, walaupun terdapat tambahan kapasiti baharu di Asia, tetapi harga MEG telah meningkat setanding arang batu, menjadikan banyak kilang arang batu tidak ekonomik kepada MEG di China.

 

Dalam pada itu, katanya, Kompleks Pengerang PCG yang dijangka beroperasi pada akhir 2021, akan menyediakan loji PP berskala besar yang mungkin mendapat manfaat daripada kenaikan harga PP. 

 

"Secara berasingan, harga metanol pada suku ketiga 2021 akan terus meningkat pada suku ke suku, di samping kekangan bekalan urea turut memberi manfaat kepada Petronas Chemical," jelas beliau. - DagangNews.com