KUALA LUMPUR 16 Julai - Penyedia perkhidmatan animasi 2D, Kucingko Berhad mengumumkan tawaran awam permulaan (IPO) untuk orang awam telah terlebih langgan sebanyak 99.02 kali.
Menurut Kucingko, sebanyak 21,929 permohonan untuk 2,500,507,000 saham IPO diterima bagi 25 juta saham yang disediakan untuk permohonan orang ramai Malaysia.
Bagi bahagian Bumiputera, sebanyak 7,242 permohonan untuk 822.42 juta saham IPO telah diterima, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 64.79 kali.
Bahagian bukan Bumiputera pula menerima sejumlah 14,687 permohonan untuk 1,678,079,400 saham IPO, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 133.25 kali.
Di samping itu, 10 juta saham IPO yang disediakan untuk permohonan oleh pengarah, pekerja dan individu yang layak yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan juga telah dilanggan sepenuhnya.
"Sebanyak 165 juta Saham IPO (merangkumi 65 juta Saham Isu dan 100 juta Saham Tawaran) yang dibuat tersedia melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih juga telah ditempatkan sepenuhnya," katanya dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Kucingko sasar kumpul RM30 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia
Kucingko menyasarkan untuk mengumpul RM30 juta daripada pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO), menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Penyedia perkhidmatan animasi 2D itu dijadual disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities pada 26 Julai 2024 pada harga 30 sen sesaham.
Kucingko akan memperuntukkan sejumlah RM17.8 juta bagi tujuan pembesaran kapasiti, termasuk RM11.9 juta untuk penubuhan pejabat cawangan pengeluaran di Malaysia Timur.
Selain itu mereka akan menggunakan sejumlah RM4.4 juta bagi menubuhkan pejabat jualan di Amerika Syarikat (AS), sejumlah RM4.3 juta akan disediakan untuk modal kerja dan baki RM3.6 juta digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian.
Malacca Securities sebelum ini memberi harga wajar 58.5 sen terhadap Kucingko, iaitu 95% lebih tinggi daripada harga IPO pada 30 sen. - DagangNews.com