Tawaran baharu Astro mungkin tidak menyumbang secara ketara - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Tawaran baharu Astro mungkin tidak menyumbang secara ketara - AmInvestment

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Nov - Penawaran terbaharu Astro menerusi penyertaan Netflix dijangka tidak menyumbang secara ketara kepada pendapatan bersih kumpulan dalam tempoh terdekat. 

 

Penganalisis AmInvestment Bank Research, Lee Ching Poh berkata, ini memandangkan bayaran langganan minimum yang tinggi mungkin tidak diterima dengan baik. 

 

"Namun, kami berpendapat penawaran baharu ini dapat memberi fleksibiliti dan memperluaskan tawaran kepada pelanggan Astro supaya dapat menikmati pelbagai kandungan di bawah satu pembekal," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Semalam, Astro mengumumkan ‘Pengalaman Baharu Astro’, yang mana membolehkan pelanggan untuk mengakses kepada saluran Netflix di TV Astro dan menikmati lebih nilai serta penjimatan menerusi pek-pek langganan terbaharu yang diperkenalkan ini.

 

Pek-pek terkini Astro direka khas untuk para pelanggan yang gemarkan dunia penstriman dan sentiasa berhubung di antara satu sama lain, membenarkan mereka untuk strim segala program kegemaran masing-masing menerusi Ultra Box, dan akan datang di Ulti Box.

 

Selain itu, Astro juga memperkenalkan pakej langganan baharu dengan yuran langganan bulanan minimum bermula daripada RM60 sebulan (berbanding RM40 sebulan sebelumnya) untuk pelan utama yang boleh meningkatkan purata hasil bagi setiap pengguna (ARPU) dalam jangka panjang.


Baca : Netflix kini boleh didapati di dalam Astro

 

Ching Poh berkata, tawaran pakej terbaharu Astro itu secara dasarnya tidak akan menjejaskan pengguna sedia ada yang mahu mengekalkan pelan semasa mereka. 

 

Tetapi, katanya, tawaran baharu ini boleh menambah nilai kepada tempoh kontrak mereka yang mana pelanggan sedia ada boleh memilih untuk mendaftar tanpa sebarang komitmen atau secara alternatif memilih kontrak 12 hingga 24 bulan untuk semua jenis langganan.

 

"Buat masa ini, pakej termurah Astro termasuk Netflix ditawarkan pada RM130 sebulan (berbanding pelan standard Netflix sahaja RM45 sebulan). 

 

"Bagi operator televisyen berbayar, perkara ini diburukkan lagi dengan isu cetak rompak dalam talian yang masih berterusan," tambahnya. 

 

Secara keseluruhan, AmInvestment mengekalkan saranan 'beli' terhadap Astro dengan nilai wajar berdasarkan aliran tunai terdiskaun (DCF) lebih rendah pada RM1.79 berbanding RM1.83  sebelum ini.

 

"DCF lebih rendah ini disebabkan pengurangan hasil bagi tahun kewangan 2023 (FY23) sebanyak 13% berikutan cadangan pelaksanaan Cukai Makmur, sebahagiannya diimbangi dengan anggaran ARPU pada RM99 (berbanding RM97.4 pada separuh pertama FY22). 

 

"Oleh itu, kami turut menyemak semula unjuran dividen FY23 kepada 7 sen sesaham (berbanding 8 sen sebelum ini) dan turut mengekalkan unjuran hasil FY22 sementara menanti pengumuman laporan kewangan pada 10 Disember ini," katanya. 

 

Ketika mengakhiri dagangan pagi ini, saham Astro susut 0.05 sen atau 0.53% kepada 94.5 sen dengan 2.18 juta saham diniagakan. - DagangNews.com