Tawaran pengambilalihan mandatori dilancarkan di syarikat pemegang lesen Alain Delon di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Tawaran pengambilalihan mandatori dilancarkan di syarikat pemegang lesen Alain Delon di Malaysia

KUALA LUMPUR 13 Okt. – Syarikat pemegang lesen eksklusif bagi jenama Alain Delon dan Pierre Cardin di Malaysia, MESB Bhd. bakal mengadakan tawaran pengambilalihan mandatori selepas dua pengarah Lotus KFM Bhd meningkatkan pegangan saham mereka kepada 44.14% di dalam MESB.

 

MESB, menerusi anak syarikatnya Miroza Leather (M) Sdn Bhd terlibat di dalam perniagaan produk kulit seperti beg tangan wanita, barangan kulit kecil wanita, beg lelaki, barangan kulit kecil lelaki dan aksesori.



Miroza memiliki lesen eksklusif untuk mereka bentuk, menymber dan memasarkan jenama antarabangsa seperti Alain Delon dan Pierre Cardin, Feraud, Jeep dan Ducati. Miroza juga memegang hak pengedaran produk Alain Delon di Indonesia, selain menguruskan jenama sendiri, Giossardi dan Giamax.

 

Miroza mengendalikan beberapa butik dan lebih 270 kaunter runcit konsaimen di pasar raya utama di Malaysia.

 

Dalam laporan yang dikemukakan kepada Bursa Malaysia, dua pegawai Lotus KFM Bhd iaitu Wong Sak Kuan dan Yau Ming Teck melancarkan tawaran pengambilalihan mandatori bagi baki saham MESB berikutan langkah mereka meraih saham sebanyak 44.14%.

 

Mereka menawarkan 31.5 sen bagi sesaham MESB dan 1.5 sen bagi satu warrant. Wong merupakan naib pengerusi Lotus KFM. Manakala Yau adalah pengarah HLT Global Bhd dan UMS-Neiken Group Bhd serta pengarah yang juga pemegang saham utamaLotus-KFM.

 

Mereka memperoleh 29.48 juta saham MESB atau 27.79% bernilai RM7.84 juta atau 30 sen sesaham dari tiga entiti iaitu Angsana Inai Sdn Bhd, Konwa Industrial Sewing Machines (M) Sdn Bhd dan Yew Kuok Yee.

 

Sebelum pengambilalihan, mereka memegang 17.34 juta saham MESB (16.35%) dan selepas proses itu kini Wong menguasai 33.37% atau 35.50 juta saham MESB dan Yau, 10.67% atau 11.32 juta saham.

Tempoh tawaran itu adalah selama 21 hari, dengan kedua-dua mereka berhasrat mengekalkan status penyenaraian MESB dan tidak berhasrat mengambil sepenuhnya baki saham yang ada. – DagangNews.com