Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 Nov - Tata Consultancy Services (TCS) organisasi perkhidmatan IT, perundingan dan penyelesaian perniagaan terkemuka global bekerjasama dengan Celcom Axiata Bhd (Celcom) bagi sistem sokongan perniagaan teras (BSS) berskala besar menggunakan platform TCS termasuk TCS HOBS™ dan TCS TwinX™ yang dihoskan pada Microsoft Azure.
Ketua Negara, TCS Malaysia, Jeevan Rajoo berkata, menerusi projek transformasi platform teras baharu, TCS akan membolehkan Celcom mempertingkatkan lagi kedudukan digital dan platformnya melalui keupayaan digital termaju seperti simulasi perniagaan dipacu AI/ML, katalog produk perusahaan dan pendayaan ekosistem rakan kongsi.
Katanya, Celcom akan mengguna pakai dan menyepadukan teras BSS digital modular yang didayakan perkhidmatan mikro TCS berdasarkan teknologi IR4.0 termaju, termasuk kecerdasan buatan, kecerdasan perniagaan, pembelajaran mesin dan teknologi awan untuk menangani pertumbuhan pasaran yang pesat dan dinamik.
"Ini juga membolehkan Celcom mempunyai akses kepada data masa nyata dan trend pelanggan sekali gus membolehkan senario perniagaan simulasi dipertingkatkan untuk pengoptimuman hasil, kos dan operasi.
"TCS komited untuk memaksimumkan pengetahuan, kepakaran dalam teknologi digital dan pelaburan dalam inovasi yang mampan untuk membantu Celcom menyelesaikan latihan pemodenan hujung ke hujungnya dan mencapai visinya untuk menjadi syarikat digital dan platform.
"Kami tidak sabar-sabar untuk mencipta model platform digital baharu yang meningkatkan kelebihan daya saing Celcom dengan mempercepatkan masa mereka ke pasaran, menambah baik pengalaman pelanggan dan membolehkan aliran hasil yang lebih baik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu Ketua Pegawai Teknologi Celcom, Afizulazha Abdullah berkata, Celcom komited meneruskan perjalanan pemodenannya dengan mengubah operasi perniagaan dengan menggabungkan teknologi baharu untuk memberikan pengalaman hebat kepada pelanggannya.
"Ini termasuk meningkatkan kebolehan analisis data Celcom, mengurangkan masa untuk pemasaran, memastikan pengalaman pelanggan yang lancar merentas semua titik sentuh Celcom," katanya.
Tambah Afizulazha, pihaknya berbesar hati untuk meneruskan kerjasama dengan TCS kerana mereka mempunyai kepakaran yang tepat dalam penyelesaian termaju, pengetahuan industri yang mendalam dan keupayaan penyampaian yang baik.
TCS HOBS™ ialah platform perniagaan digital 'plug and play' untuk langganan, peranti dan pengurusan data yang ditawarkan dalam model perisian sebagai perkhidmatan (SaaS). -DagangNews.Com