TCS Malaysia lancar Sustainathon Malaysia 2021 | DagangNews Skip to main content

TCS Malaysia lancar Sustainathon Malaysia 2021


KUALA LUMPUR 26 Okt – Tata Consultancy Services (TCS), sebuah syarikat peneraju perkhidmatan, perunding dan penyedia solusi perniagaan IT global, kini menganjurkan pertandingan Sustainathon di Malaysia, melalui cabaran TCS Sustainathon Malaysia 2021.

 

Dengan tema ‘Reimagining Education’, pertandingan ini terbuka kepada pelajar lepasan sekolah dengan memfokuskan kepada isu berkaitan pembelajaran secara digital melalui pelaksanaan solusi berasaskan teknologi dan inovasi.  

 

Ketua TCS Malaysia Jeevan Rajoo berkata, COVID-19 telah mengubah masyarakat dalam pelbagai aspek, termasuk pendidikan, dan telah menjadi cabaran kepada pelbagai pihak.

 

Katanya, jutaan pelajar, keluarga dan para guru di Malaysia telah terkesan dengan pelbagai cabaran, termasuk kekangan hubungan komunikasi dan kesukaran proses pengajaran dan pembelajaran baharu dalam format atas talian.

 

‘’Bagi kami di TCS, Sustainathon adalah usaha kami untuk mengumpulkan idea, teknologi dan inovasi bagi mengatasi cabaran sebenar ini.

 

‘’Tahun ini, fokus kami bertumpu kepada pendidikan bagi merapatkan jurang dalam pendidikan dengan mengatasi sebarang kekangan dan bersifat inklusif.

 

‘’Di sini, kita perlu menilai semula cara berfikir dan mencipta cara pembelajaran untuk masa depan yang lebih mampan, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) yang menyeru kepada pendidikan yang inklusif dan saksama serta merapatkan jurang perbezaan,” katanya dalam kenyataan di sini.  

 

Dalam TCS Sustainathon Malaysia 2021, fokus cabaran bertumpu kepada usaha membantu pelajar memperoleh manfaat yang adil dan saksama daripada pembelajaran berasaskan digital, merapatkan jurang kemahiran digital dan mengatasi kekangan yang wujud dalam kelas maya.

 

Menurutnya, kebanyakan daripada isu yang akan diatasi menerusi TCS Sustainathon Malaysia 2021 bukanlah perkara baharu.

 

Daripada polisi baharu seperti Rangka Tindakan MyDigita yang berusaha memastikan akses saksama kepada pendidikan maya melalui kesalinghubungan dan peralatan yang berkualiti, serta mengoptimumkan platform digital, peralatan dan kemahiran untuk pelajar dan guru, kepada polisi lama seperti Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-20252 yang menggalakkan penggunaan platform maya bagi pembelajaran kendiri dan bagi mengatasi kekangan geografi, ia telah diberi perhatian.

 

 

PM

 

 

‘’Bagi mempercepatkan perubahan bermakna, aspirasi kami adalah mendapatkan 1,000 penyertaan dari serata Malaysia secara berkumpulan mahupun individu. Kami ingin memulakan satu gerakan untuk menilai semula pendidikan bagi anak-anak kita!” tambah Jeevan.  

 

Cabaran TCS Sustainathon Malaysia 2021 terbuka kepada para pelajar peringkat pengajian tinggi di Malaysia, daripada pra universiti hingga universiti dalam pelbagai bidang, sama ada dari institusi-institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta serta teknikal.

 

Para peserta boleh menghantar idea-idea mereka secara individu mahupun berpasukan yang terdiri sehingga lima orang ahli. Para pelajar di bawah usia 18 tahun setakat 20 September 2021 mesti mendapatkan kebenaran daripada ibu bapa atau penjaga mereka untuk menyertai cabaran ini.

 

Penghantaran idea seharusnya berasaskan empat bidang cabaran seperti berikut:

  • Cabaran #1: Jurang dan Ketiadaan Hubungan Digital. Idea-idea perlu meneroka cara untuk mempertingkatkan hubungan komuniti dan menyediakan akses terhadap pendidikan tinggi berkualiti tinggi dalam kaedah lebih inklusif semasa dan pascapandemik, menggunakan teknologi untuk mewujudkan pengalaman pembelajaran yang turut melibatkan kumpulan B40 dan orang kelainan upaya.
  • Cabaran #2: Ketidakhadiran dalam Pembelajaran Jarak Jauh. Idea-idea yang ditampilkan perlu menawarkan penyelesaian bagi memacu perubahan sikap dalam kalangan pelajar dan memotivasikan mereka untuk hadir secara aktif dalam pembelajaran dalam talian.
  • Cabaran #3: Platform Pembelajaran Digital Bersepadu. Idea-idea perlu menawarkan penyelesaian digital sehenti untuk pemantauan dan pengurusan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian, untuk mempertingkatkan kualiti pengajaran dan memudahkan komunikasi antara ibu bapa, guru-guru dan institusi pengajian dalam kaedah bersepadu.
  • Cabaran #4: Menyediakan Akses Pendidikan Kepada Individu Buta. Idea-idea yang dihantar perlu membolehkan pendidikan secara inklusif kepada para pelajar kelainan upaya daripada aspek penglihatan dan mengubah amalan pengajaran tradisional.

 

 

Sehingga enam pasukan atau individu yang disenarai pendek akan mempunyai peluang untuk membentangkan idea mereka di hadapan panel hakim pada Disember 2021. Tiga pemenang utama akan diumumkan pada acara kemuncak yang akan dianjurkan pada Januari 2022. Tiga penyertaan utama masing-masing akan memenangi wang tunai RM10,000, RM7,000 dan RM5,000, sementara penyertaan yang menerima undian terbanyak dan pemenang Anugerah Pengiktirafan Khas akan menerima RM2,000 setiap satu.

 

Dua penyertaan utama juga akan mewakili Malaysia pada pertandingan peringkat akhir ASEAN pada Mac 2022, yang turut akan melibatkan dua pasukan dari Filipina dan Singapura. Pertandingan Akhir ASEAN akan menawarkan hadiah berupa wang tunai bernilai AS$10,000 kepada juara. Semasa cabaran TCS Sustainathon Malaysia 2021, para peserta berupaya mendapat akses dengan pakar-pakar terlibat bagi membantu mereka memperhalusi idea masing-masing, selain berpeluang untuk membangunkan idea kemenangan bagi manfaat dunia sebenar sekiranya sesuai.

 

Penyertaan bagi TCS Sustainathon Malaysia 2021 akan ditutup pada 30 November 2021. Sesi webinar akan diadakan untuk membantu para peserta yang berminat untuk memperhalusi idea dan meningkatkan lagi penyertaan mereka. Rakaman sesi-sesi tersebut akan turut disediakan bagi kemudahan peserta.

 

Maklumat lanjut berkenaan penyertaan TCS Sustainathon Malaysia 2021, termasuk garis panduan dan kriteria penilaian, boleh didapati di https://bit.ly/ssn-my2021. Pihak penganjur boleh dihubungi menerusi emel di alamat tcs.sustainathon@tcs.com.

 

Cabaran TCS Sustainathon Malaysia 2021 disokong oleh rakan-rakan strategik dan sokongan yang merangkumi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), PETRONAS, Celcom Axiata Berhad, Astro, UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB), Teach For Malaysia dan Social Enterprise Education Lab (SEEd.Lab).

 

Rakan Cabaran dan Khidmat Masyarakat  TCS Sustainathon Malaysia 2021 terdiri daripada Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Nottingham Malaysia, Asia Pacific University of Technology & Innovation, Universiti Teknologi PETRONAS, Universiti Malaya, Universiti Multimedia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Antarabangsa Manipal dan Universiti Antarabangsa UNITAR. – DagangNews.com