TCS terima kontrak projek perumahan RM323 juta dari Mah Sing | DagangNews Skip to main content

TCS terima kontrak projek perumahan RM323 juta dari Mah Sing

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Syarikat pembinaan bangunan dan infrastruktur,  TCS Group Holdings Berhad (TCS) menerusi anak syarikatnya, TCS Construction Sdn. Bhd. (TCSB) memperoleh kontrak bernilai RM323 juta bagi sebuah projek kediaman M Arisa. 

Kontrak itu ditawarkan oleh Cosmowealth Housing Development Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat Mah Sing Group Berhad (Mah Sing), di mana melibatkan pembinaan dua blok pangsapuri, 57 tingkat dengan 799 unit setiap satunya, 10 tingkat tempat letak kereta, setingkat tempat letak kereta bawah tanah dan satu tingkat kemudahan, di Kuala Lumpur. 

Pengarah Urusan TCS, Datuk Ir. Tee Chai Seng berkata, secara keseluruhannya, syarikat itu telah memperoleh tiga kontrak bernilai RM537.7 juta bagi tempoh hanya tiga bulan.

 

TCS, Datuk Ir. Tee Chai Seng
Tee Chai Seng

 

“Mah Sing merupakan pemaju yang telah memenangi pelbagai anugerah dan kami berbesar hati dipilih bagi kerja pembinaan untuk M Arisa. 

“Kami menantikan kerjasama rapat dengan mereka dan hubungan jangka panjang dengan pasukan Mah Sing. 

“Kami akan terus menekankan tiga fokus utama bagi projek berkenaan dengan menyampaikan kualiti tinggi, penyelesaian tepat pada masanya; dan keutamaan kesihatan serta keselamatan di tempat kerja, sepenuhnya mematuhi Prosedur Operasi Standard yang ketat, dilaksanakan oleh pihak berkuasa ketika pandemik COVID-19,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan pada pengumuman syarikat Bursa Malaysia. 

Tempoh keseluruhan kontrak adalah selama 36 bulan bermula dari tarikh pemilikan tapak projek. 

Tambah Chai Seng, pihaknya berpuas hati dengan perkembangan dan pelaksanaan pelan perluasan syarikat, pertumbuhan aktiviti pembinaan, perluasan perkhidmatan pembinaan infrastruktur dan pembelian mesin serta peralatan. 

“Pada masa sama, syarikat juga akan menyertai dalam lebih banyak tender projek terutama melibatkan infrastruktur dan bangunan institusi. 

“Pada masa akan datang, kami kekal positif dengan prospek kumpulan syarikat disokong pemulihan berperingkat bagi sektor pembinaan, buku tempahan bertambah baik serta penyertaan aktif tender bagi segmen pembinaan bangunan dan infrastruktur,” katanya. - DagangNews.com