TDM catat peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak lapan kali ganda kepada RM71.8 juta bagi FY2021 | DagangNews Skip to main content

TDM catat peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak lapan kali ganda kepada RM71.8 juta bagi FY2021

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Feb - TDM Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM71.8 juta iaitu peningkatan lapan kali ganda bagi FY2021 yang berakhir 31 Disember 2021 berbanding FY2020 hasil daripada pendapatan tinggi bahagian perladangan dan segmen penjagaan kesihatan.

 

TDM dalam satu kenyataan berkata, pendapatan kumpulan itu untuk FY2021 meningkat sebanyak 15% berbanding tahun sebelumnya hasil daripada penungkatan pendapatan dalam segmen perladangan sebanyak RM46.8 juta dan segmen penjagaan kesihatan sebanyak RM21.3 juta.

 

Kumpulan itu juga mencatatkan peningkatan 27% untuk pendapatan 4QFY2021 berbanding suku sama tahun lalu didorong peningkatan dalam segmen perladangan sebanyak 42% kepada RM30.8 juta dan segmen penjagaan kesihatan sebanyak 8% kepada RM4.6 juta.

 

"Kumpulan ini juga berjaya mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM67.1 juta bagi 4QFY2021 iaitu peningkatan 17 kali ganda berbanding RM3.8 juta bagi suku yang sama tahun lalu. 

 

"Keuntungan itu adalah termasuk keuntungan sekali bayar berjumlah RM40.4 juta daripada skim penerima pajakan," katanya.

 

TDM berkata, segmen perladangan kumpulan itu mencatatkan keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM93.9 juta pada 4QFY2021 berbanding RM20.9 juta berbanding suku sama tahun lalu selain keuntungan sebelum cukai sebanyak RM73.8 juta berbanding RM1.5 juta pada FY2020.

 

"Segmen ini merekodkan pendapatan lebih tinggi sebanyak 42% akibat sokongan harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi dan isirung sawit pada harga purata antara 52% hingga 81%.

 

"Bagaimanapun, terdapat penurunan dari segi jualan MSM sebanyak 15% kerana kekurangan penghasilan tandan buah segar (FFB) dalam suku ini," katanya.

 

Sementara itu, segmen kesihatan mencatatkan peningkatan sebanyak 8% dari segi pendapatan bagi 4QFY2021 kepada RM61.5 juta berbanding RM56.9 juta pada suku sebelumnya akibat peningkatan pendapatan purata bagi setiap pesakit sebanyak 2%.

 

"Segmen ini juga merekodkan peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM4.1 juta berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM3.4 juta bagi suku sama tahun lalu," katanya. - DagangNews.com