Tekanan harga bahan binaan bukan risiko besar kepada syarikat pembinaan - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Tekanan harga bahan binaan bukan risiko besar kepada syarikat pembinaan - MIDF Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Sept - Tekanan harga bahan binaan dilihat bukan risiko besar kepada syarikat pembinaan kerana mereka mempunyai pelbagai cara untuk mengimbangi kesan kenaikan itu.

 

MIDF Research berkata, antara pendekatan yang akan digunakan termasuk perlindungan margin keuntungan seperti klausa variasi harga selain kebanyakan syarikat di bawah liputannya memiliki kaedah untuk melepaskan peningkatan kos kepada pengguna.

 

Katanya, seandainya elemen seperti itu tidak wujud, sesetengah kontrak akan menetapkan harga atau rundingan kenaikan harga akibat inflasi bersama pelanggan bagi menetapkan semula harga kontrak berkenaan sekiranya berlaku kenaikan harga. 

 

"Kami menjangkakan margin keuntungan akan bertambah baik pada 3QCY22 walaupun perlahan disebabkan kos tenaga pekerja yang lebih tinggi berikutan kekurangan pekerja asing.

 

"Kesan daripada itu, kontraktor perlu berbelanja besar untuk menyiapkan projek kritikal tetapi kami menjangkakan keadaan bertambah baik pada masa akan datang kerana sektor pembinaan merupakan antara yang dibenarkan untuk mendapatkan tenaga kerja daripada 15 negara sumber," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Purata harga keluli di Malaysia mencatatkan penurunan 2% dari bulan ke bulan kepada RM3,802.37 untuk setiap tan bagi Ogos 2022 dan ia merupakan bulan kedua berturut-turut ia mencatatkan penurunan selaras dengan penurunan harga komoditi global.

 

Bagaimanapun, harga simen mencatatkan peningkatan sebanyak 0.24% dari bulan ke bulan pada Ogos 2022 kepada RM21.04 untuk 50 kilogram.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'positif' terhadap sektor pembinaan selaras dengan kemampuan untuk mengurus kenaikan kos selain potensi pelancaran projek infrastruktur di Malaysia selain perkembangan dipacu oleh projek MRT3 akan datang pada 4QCY22.

 

Antara syarikat yang menjadi pilihan termasuk Gamuda (beli, harga sasaran (TP): RM4.02) dan Sunway Construction (beli, TP: RM1.87) kerana mereka merupakan antara pilihan utama untuk mendapatkan kontrak utama MRT3.

 

"Gabungan AQRS (beli; TP: RM0.52) juga menjadi pilihan kerana menjadi kontraktor yang selektif terhadap projek yang dijalankan dengan margin keuntungan dua digit selain memiliki langkah perlindungan margin yang kukuh dalam bentuk variasi harga.

 

"Cahya Mata Sarawak (beli, TP: RM1.37)  juga merupakan antara pilihan kerana menjadi pengeluar simen tunggal di Sarawak dan terlibat dengan perniagaan pembinaan yang besar," katanya. - DagangNews.com