KUALA LUMPUR 11 Nov - CGS-CIMB Research kekal berhati-hati terhadap momentum jualan Berjaya Food Bhd (BFood) pada suku berikutnya ekoran perbelanjaan pengguna yang lemah meskipun ia merekodkan prestasi suku pertama yang kukuh.
Ini boleh menyebabkan prospek pendapatan yang lebih lemah untuk BFood sekiranya margin terus menurun pada asas suku ke suku.
Menurut firma itu, transaksi urus niaga boleh menurun selepas tempoh permintaan terpendam dan dipengarugi kuasa perbelanjaan pengguna yang berhemah di tengah-tengah persekitaran inflasi yang lebih tinggi dan kitaran kenaikan kadar faedah.
"Ia dapat dilihat apabila jualan dan keuntungan bersih teras BFood pada suku pertama berakhir 30 September 2022 masing-masing susut 2.8% dan 17.6% suku ke suku terutamanya disebabkan tiada jualan yang didorong musim perayaan dan kemerosotan permintaan terpendam.
"Margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) susut 4.7% suku ke suku memandangkan kos operasi meningkat 4.2% suku ke suku disebabkan kos pekerja yang lebih tinggi berikutan pelaksanaan gaji minimum sejak 1 Mei lalu," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bagi perbandingan suku ke suku, keuntungan bersih BFood susut 14.67% daripada RM40.66 juta yang direkodkan bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2022 apabila pendapatan susut 2.82% daripada RM291.27 juta yang direkodkan bagi suku sebelumnya.
Bagaimanapun, bagi tahun ke tahun, ia merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM34.7 juta pada suku pertama, meningkat hampir tiga kali ganda daripada RM11.63 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi itu selari dengan hasil lebih tinggi yang dicatatkan bagi suku tersebut ditambah pula dengan pemulihan prestasi perniagaan Kenny Rogers Roasters.
Pengendali francais Starbucks itu juga menyaksikan pendapatannya meningkat 50.78% tahun ke tahun kepada RM283.05 juta daripada RM187.72 juta dipacu terutamanya pertumbuhan jualan menerusi cawangan Starbucks sedia ada dan baharu.
Susulan prestasi kumpulan pada suku itu yang melepasi jangkaan, CGS-CIMB menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) hingga FY25 sebanyak 15.6% hingga 24.7% yang mencerminkan anggaran pendapatan dan margin operasi yang lebih tinggi.
"Sejajar dengan kenaikan EPS ini, kami menyemak naik harga sasaran BFood kepada RM1.02 daripada 91 sen sesaham sebelum ini dengan mengekalkan saranan 'pegang'
"Namun, kami mengurangkan gandaan nilai perusahaan (PE) kepada 16.2 kali daripada 18 kali sebelum itu kerana kami mengambil kira pengurangan 10% ekoran persekitaran operasi yang lemah di tengah-tengah tekanan inflasi dan kenaikan kadar faedah," katanya.
Firma itu menjangkakan harga saham BFood akan disokong oleh kehadiran cawangannya yang meluas dengan kira-kira 472 cawangan di Malaysia setakat akhir suku pertama FY23. - DagangNews.com