Tekanan inflasi, Kenanga Research unjur pelanggan Nestle beralih kepada produk lebih murah | DagangNews Skip to main content

Tekanan inflasi, Kenanga Research unjur pelanggan Nestle beralih kepada produk lebih murah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Julai - Nestle Malaysia Berhad diunjur berdepan prospek mencabar termasuk tekanan inflasi yang mungkin menyebabkan pelanggan mereka beralih kepada jenama produk yang lebih murah.

 

Kenanga Research berkata, kumpulan itu juga berdepan masalah untuk melepaskan kos bahan mentah yang tinggi dan ia terbukti dengan penyusutan margin keuntungan.

 

Firma itu berkata, walaupun harga komoditi secara amnya mencatatkan penurunan namun ia dilihat kembali meningkat selepas pembukaan semula China.

 

Katanya, kumpulan itu juga berdepan masalah gangguan rantaian bekalan akibat konflik berterusan Rusia-Ukraine selain kemungkinan cabaran daripada El Nino.

 

"Walaupun berdepan risiko kehilangan sebahagian pegangan pasaran, kami percaya kumpulan itu mempunyai kewajiban moral serta amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk tidak menaikkan harga produk makanan rujinya secara berlebihan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu meningkat sebanyak 6.64% RM180.92 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23) daripada RM169.65 juta setahun lalu.

 

Peningkatan keuntungan itu serasi dengan pelaburan pemasaran yang lebih tinggi yang membantu memacu pertumbuhan pesat dan memperoleh bahagian pasaran dalam beberapa segmen.

 

Hasil kumulan itu meningkat 6.8% kepada RM1.75 bilion daripada RM1.64 bilion sebelumnya, terutamanya disebabkan pertumbuhan dalam jualan domestik, yang menyaksikan pertumbuhan dua angka sebanyak 11.6%.

 

Firma itu mengekalkan penarafan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) RM121.18 sesaham.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu juga berdepan beberapa risiko termasuk kejatuhan ketara dalam harga komoditi, nilai yang lebih kukuh menyebabkan kos bahan mentah yang diimport lebih rendah dan pengguna beralih kepada produk makanan yang lebih berkualiti apabila kuasa beli meningkat dan inflasi berkurangan. - DagangNews.com