KUALA LUMPUR 1 Mac - Tekanan kos kekal menjadi risiko utama kepada Velesto Energy Bhd. meskipun kumpulan kembali mencatat keuntungan pada suku keempat berakhir 31 Disember 2021.
Pada suku berkenaan, segmen penggerudian kumpulan merekodkan pendapatan sebelum cukai dan faedah (EBIT) sebanyak RM22 juta, selepas mengalami kerugian selama 3 suku berturut-turut.
Penganalisis CGS-CIMB Research, Raymond Yap berkata, penggunaan pelantar jack up dijangka boleh menikmati keuntungan yang lebih tinggi daripada dilaporkan dengan kadar penggunaan 78% pada suku tersebut tetapi tekanan kos mungkin mengambil sebahagian daripada pendapatan.
Katanya, tekanan kos tersebut berkisar kepada kos untuk mematuhi keperluan kuarantin COVID-19 dan kos penginapan pelantar kepada anak kapal yang dilanjutkan mesti diberi ganti rugi.
"Selain itu, ia juga membabitkan inflasi upah akibat ketidakupayaan merekrut anak kapal asing yang telah menyebabkan perebutan seluruh industri untuk anak kapal Malaysia," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, Velesto merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM5.43 juta bagi suku keempat itu berbanding kerugian bersih RM493.29 juta bagi tempoh sama 2020 apabila kumpulan mencatatkan kerugian rosot nilai yang besar sebanyak RM461.8 juta untuk aset pelantarnya.
Tanpa kerugian rosot nilai, pendapatan meningkat 60% kepada RM158.49 juta daripada RM99.06 juta setahun sebelumnya berikutan hasil yang lebih tinggi menerusi segmen penggerudian dan medan minyaknya pada suku semasa.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, kerugian bersihnya mengecil kepada RM90.28 juta berbanding RM491.73 juta bagi tempoh sama 2020, walaupun pendapatan susut 30.98% kepada RM377.5 juta daripada RM546.94 juta disebabkan aktiviti dalam segmen penggerudian yang lebih rendah.
Menurut Yap, kadar penggunaan jack up Velesto dijangka menurun kepada 37% pada suku pertama 2022 memandangkan beberapa kerja-kerja penggerudian berakhir pada suku keempat.
Katanya, kontrak dalam tangan setakat ini boleh membantu Velesto mencapai 42% kadar penggunaan pada tahun kewangan 2022 (FY22) sekiranya tiada tambahan kontrak diperoleh.
Pada masa sama, Naga 5 dan Naga 6 akan melalui proses naik taraf selama 3 bulan pada separuh pertama ini, dan kedua-duanya tidak akan beroperasi untuk sebarang sewaan komersial dalam tempoh ini.
"Bagaimanapun, dengan mengambil kira harga minyak yang lebih tinggi, kami yakin bahawa andaian penggunaan 70% atas ke bawah kami untuk FY22 hingga FY24 masih boleh dicapai
"Peningkatan risiko untuk Velesto adalah jika ia boleh mencapai penggunaan lebih tinggi daripada 70%, kerana syarikat utama minyak mungkin meningkatkan perbelanjaan modal (capex) untuk aktiviti penggerudian," jelasnya.
Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Velesto dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada 13.5 sen berbanding 14 sen sebelum ini.
Setakat 9.32 pagi ini, saham Velesto kekal tidak berubah pada 12 sen dengan 1.5 juta saham diniagakan. - DagangNews.com