Telco di Malaysia dijangka raih pulangan besar apabila penggunaan 5G kukuh - GlobalData | DagangNews Skip to main content

Telco di Malaysia dijangka raih pulangan besar apabila penggunaan 5G kukuh - GlobalData

KUALA LUMPUR 20 Okt - Pengendali rangkaian mudah alih (MNO) di Malaysia dijangka meraih pulangan besar dalam beberapa tahun akan datang apabila penggunaan 5G semakin kukuh.

 

Menurut GlobalData, hasil bagi sektor itu dijangka menyaksikan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 2.8% kepada AS$6.5 bilion (RM30.7 bilion) pada 2027 daripada anggaran AS$5.6 bilion (RM26. 5 bilion) pada 2022.

 

Malah, syarikat data dan analitik itu mendapati kebanyakan keuntungan akan didorong oleh segmen data mudah alih.

 

"Bagaimanapun, hasil daripada perkhidmatan suara mudah alih dijangka mengalami penurunan 1.7% CAGR sepanjang tempoh ramalan.

 

"Kelembapan itu disebabkan penurunan dalam purata hasil bagi setiap pengguna (ARPU) perkhidmatan suara," katanya seperti dilapor portal FMT hari ini.

 

Sebaliknya, hasil daripada perkhidmatan data mudah alih dijangka meningkat pada CAGR sebanyak 4.9% dalam tempoh lima tahun akan datang, dipacu ARPU yang lebih tinggi apabila penggunaan 5G meningkat.

 

Penganalisis telekomunikasi GlobalData, Hrushikesh Mahananda berkata, purata penggunaan data bulanan akan meningkat daripada 16.1GB pada 2022 kepada 40.8GB pada 2027.

 

Katanya, ia didorong oleh peningkatan penggunaan video mudah alih dan kandungan media sosial melalui telefon pintar.

 

Berdasarkan langganan, menurutnya, 4G akan kekal sebagai teknologi mudah alih terkemuka di Malaysia sehingga 2026 sebelum 5G mengatasinya dan seterusnya menyumbang 47% bahagian daripada jumlah langganan mudah alih pada 2027.

 

"Ini akan didorong oleh pengembangan inisiatif rangkaian 5G oleh kerajaan dan pengendali mudah alih," jelasnya.

 

Digital Nasional Bhd (DNB), syarikat tujuan khas yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan, telah diberi tugas untuk memacu infrastruktur 5G di Malaysia.

 

Pada awal bulan ini, enam MNO iaitu Celcom Axiata Bhd., Digi Telecommunications Sdn. Bhd., YTL Communications Sdn. Bhd., Telekom Malaysia Bhd. (TM), Maxis Bhd. dan U Mobile Sdn. Bhd. dilapor mencapai persetujuan mengenai terma perjanjian akses itu.

 

Kesemua MNO mempunyai tempoh sehingga akhir bulan ini untuk menandatangani perjanjian akses dengan DNB. - DagangNews.com