Telco digital Axiata tekad kekalkan kedudukan dua teratas pasaran | DagangNews Skip to main content

Telco digital Axiata tekad kekalkan kedudukan dua teratas pasaran

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Jun - Axiata Group Berhad mendedahkan syarikat-syarikat telekomunikasi digital di bawah pimpinan kumpulan tekad untuk mengekalkan kedudukan nombor satu atau dua masing-masing di dalam pasaran.

 

Dalam masa sama, kesemua telco itu akan turut menumpukan ke arah peluang pertumbuhan mampan, kecemerlangan operasi dan perubahan struktur termasuk penyatuan pasaran, menurut Axiata.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Datuk Izzaddin Idris berkata, menerusi program vaksinasi global COVID-19 yang sedang berjalan, landasan ke arah pemulihan semakin kelihatan. 

 

Izzaddin Idris
Izzaddin Idris

 

“Hari ini, kami berdiri di satu titik yang sangat menarik yang akan membentuk Axiata dalam beberapa tahun akan datang. Dibimbing oleh Visi Axiata 5.0 untuk menambah baik ketahanan dan memacu kami ke arah The Next Generation Digital Champion menjelang 2024, pembangunan dalaman kami ditingkatkan untuk memudahkan ketangkasan yang lebih tinggi serta meningkatkan skala dan sinergi kumpulan.

 

“Strategi perniagaan Triple Core kami melibatkan Telco Digital, Perniagaan Digital dan Infrastruktur secara aktif menunjangi usaha kewujudan nilai kumpulan yang merangkumi pembayaran dividen lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan berhubung Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-29 yang diadakan secara maya hari ini.

 

Menurut laman web Axiata, telco digital di bawah kumpulan termasuk Celcom, XL Axiata, Robi, Smart, Dialog dan Ncell.

 

Pada AGM berkenaan, kesemua 12 resolusi yang dibentangkan telah diluluskan.

 

Menurut kenyataan sama, Axiata menekankan komitmen kumpulan untuk menerajui keterangkuman digital dengan meneruskan pelaburan dalam teknologi dan infrastruktur rangkaian canggih dalam menambah baik pengalaman pelanggan dan komuniti. 

 

Jelas Axiata lagi, masa depan perniagaan digital kumpulan diperkukuhkan menerusi kerjasama strategik untuk menubuhkan dua ‘unicorn’ perkhidmatan kewangan digitalnya iaitu Boost Holdings Sdn Bhd dan ADA.

 

Sementara itu, Pengerusi Axiata, Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid berkata, kumpulan komited untuk membantu Malaysia mengadaptasi revolusi perindustrian keempat (IR 4.0), seterusnya merebut peluang yang hadir dengan terknologi baharu dan kerjasama global. 

 

Ghazzali Sheikh Abdul Khalid
Ghazzali Sheikh Abdul Khalid

 

“Oleh itu, keutamaan kami akan difokuskan kepada membimbing kumpulan ke arah memastikan ketahanan kewangan dan operasi, serta pertumbuhan yang mampan dan adil di seluruh geografi kami,” jelas beliau. 

 

Sebagai rekod, Axiata ‘melabuhkan tirai’ 2020 dengan prestasi hasil yang stabil bernilai RM24.2 bilion selain pegangan tunai berjumlah RM7.2 bilion. - DagangNews.com