Telco Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand: Mana yang terbaik? | DagangNews Skip to main content

Telco Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand: Mana yang terbaik?

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Firma penyelidikan, CGS-CIMB Research meletakkan penarafan berbeza ke atas industri telekomunikasi di empat buah negara berjiran - Malaysia (neutral), Indonesia (overweight), Singapura (overweight) dan Thailand (tidak menarik). 

 

Setelah mengambil kira pandangan daripada 53 firma pengurusan dana berhubung prospek industri berkenaan di ASEAN, Indosat dan XL Axiata di Indonesia serta Singtel di Singapura menjadi pilihan teratas buat CGS-CIMB.  

 

Bagi prospek industri telekomunikasi di Malaysia, CGS-CIMB mendedahkan pandangan pelabur secara umumnya bersetuju bahawa industri mudah alih di negara ini kurang berkembang. 

 

Pandangan itu dibuat walaupun perniagaan-perniagaan telekomunikasi tetap membayangkan prospek pertumbuhan yang positif, jelas CGS-CIMB. 

 

“Dari segi saham, pelabur melontarkan pertanyaan sekiranya perolehan Telekom Malaysia Berhad (TM) yang bertambah baik baru-baru ini akan kekal dan adakah terdapat peningkatan terhadap nilai sahamnya. 

 

“Kami percaya TM akan terus menikmati pertumbuhan yang baik dalam gentian jalur lebarnya, pajakan angkut hala balik dan perniagaan ICT, sementara penjimatan kosnya akan menyaksikan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) terus meningkat daripada 35.2% pada FY19 kepada 39.5% pada FY22. 

 

“Kami baru-baru ini meningkat harga sasaran (TP) TM kepada RM7.00,” jelas CGS-CIMB dalam nota kajiannya. 

 

Sementara di dua negara jiran, Indonesia dan Singapura, CGS-CIMB mempunyai pandangan berbeza terhadap pemain industri telekomunikasi di negara-negara berkenaan.

 

Sebagai contoh di Indonesia, terdapat beberapa penekanan terhadap pilihan telekomunikasi CGS-CIMB, Indosat kerana syarikat itu masih mencatatkan kerugian, namun harga sahamnya melonjak susulan perbincangan penggabungan dengan Hutchinson 3 Indonesia (H3I).

 

Sekiranya perancangan itu berlaku, CGS-CIMB percaya Indosat dalam kedudukan yang kukuh, memandangkan struktur rangkaian dan kosnya akan bertambah baik.

 

“Kami percaya Indosat-H3I akan menumpukan integrasi berbanding perolehan syer pasaran dan mungkin menaikkan tarif apabila rangkaiannya bertambah baik di mana merupakan perkembangan positif buat keseluruhan persaingan pasaran. 

 

“Kami juga berpendapat Indosat-H3I mungkin mengembalikan beberapa spektrum lebihan selepas penggabungan untuk menjimatkan kos, di mana akan menyumbangkan lebih banyak pemegangan spektrum antara pemain industri,” kata CGS-CIMB.

 

Sementara itu, Singtel di Singapura pula bakal menyaksikan penarafan semula nilai sahamnya sekiranya terdapat pemulihan dalam perusahaan dan perayauan pasca COVID-19, yang merupakan antara pemangkin utama, ujar CGS-CIMB.

 

Penarafan ‘tidak menarik’ untuk industri telekomunikasi di Thailand pula dibuat setelah pemain industrinya tidak disukai sejak persaingan prabayar meningkat pada 2H19. 

 

CGS-CIMB berkata, kebanyakan pelabur tidak mengambil perkembangan terkini pasaran semasa, yang masih terjejas oleh pelan data tanpa had berharga rendah dan penggunaan yang lemah.

 

“Kami meramalkan keuntungan bersih teras FY21 sektor ini menurun sebanyak 12.2% tahun ke tahun berikutan kenaikan susut nilai dan penulasan (D&A) sebanyak 8%,” tambah CGS-CIMB lanjut.

 

Secara keseluruhannya, CGS-CIMB meletakkan penarafan 'neutral' ke atas industri telekomunikasi di ASEAN. - DagangNews.com