BAHAGIAN dalam pesawat penumpang AirAsia A320 yang ditukar sebagai pesawat kargo sahaja. - Sumber newsroom.airasia.com
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 14 Jun - Cabang logistik di bawah airasia digital dan anak syarikat milik penuh AirAsia Group Berhad, Teleport berjaya menyaksikan hasilnya bagi suku pertama tahun 2021 (1Q21) kembali normal ke tahap sebelum pandemik COVID-19.
Bagi tempoh berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, Teleport berjaya mencatatkan lonjakan hasil sehingga tiga kali ganda berbanding suku tahun sebelumnya.
“Teleport adalah bahagian yang tidak terpisah daripada ekosistem perjalanan digital dan gaya hidup yang sedang kami bangunkan untuk menjadi aplikasi pilihan Asean super.
“Saya sangat berbangga dengan apa yang Teleport telah capai dalam masa tiga tahun. Kami sekarang memiliki pesawat kargo khusus dan telah menukar dua pesawat penumpang A320 untuk menyediakan perkhidmatan kargo sahaja bagi memudahkan pertumbuhan yang diramalkan pesat di Asean dan seterusnya.
“Paling penting, Teleport mengungguli dengan penghantaran pada hari yang sama dan juga menghubungkan ke banyak bandar kecil yang hanya dapat diakses oleh rangkaian kami, seperti penghantaran baru-baru ini untuk Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari pusat Kuala Lumpur kami dan penghantaran bekalan perubatan ke Vientiane, Laos,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketika ini, Teleport sedang mempergiatkan lagi penghantaran dan keupayaan kargo digitalnya untuk memenuhi pertumbuhan e-perdagangan yang kian berkembang susulan pandemik COVID-19.
Menurut kenyataan itu lagi, Teleport mempunyai kelebihan menerusi rangkaian luas AirAsia di Asia Tenggara yang telah menghubungkan perkhidmatan darat dengan rangkaian udara pada kos terendah.
Sejak perkhidmatan penghantaran hingga ke pintu telah dilancarkan di 77 bandar meliputi lima buah negara, Teleport telah berjaya menghantar kargo dan produk pengguna lain kurang daripada 24 jam dalam laluan dua hala antara Kuala Lumpur dan Singapura serta Kuching dan Kota Kinabalu.
Pada masa akan datang, perkhidmatan Teleport dijangka diperluaskan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Ipoh selain laluan domestik di Thailand, Indonesia dan Filipina. - DagangNews.com