Tempoh 'lockdown' beri tamparan hebat kepada sektor perbankan | DagangNews Skip to main content

Tempoh 'lockdown' beri tamparan hebat kepada sektor perbankan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Julai - Situasi semasa pandemik COVID-19 yang masih menyaksikan tempoh 'lockdown' masih dikuatkuasakan, bukan sahaja memberi cabaran kepada ekonomi, tetapi tamparan hebat kepada sektor perbankan. 

 

Ini dapat dilihat apabila bank merekodkan jumlah permohonan sebanyak RM79.6 bilion pada Mei 2021, iaitu 3.2% lebih rendah berbanding purata RM82.3 bilion dalam tempoh 3 bulan sebelumnya.

 

Penganalisis Kenanga Research, Clement Chua berkata, nisbah rosot nilai (GIL) kasar secara keseluruhan menyaksikan peningkatan 1.59% kerana terdapat beberapa akaun yang gagal kembali pulih dalam persekitaran ekonomi yang lemah. 

 

"Beberapa bulan akan datang ini akan dilihat terus mencabar jika kes jangkitan masih tinggi dan boleh melambatkan usaha pemulihan ekonomi. 

 

"Kami berpendapat, program vaksinasi dapat memberi hasil yang lebih baik tetapi ia hanya dapat direalisasikan pada separuh kedua tahun ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' bagi sektor perbankan dengan mengunjurkan pertumbuhan bagi pinjaman dan deposit antara 3 hingga 4% bagi tahun ini.

 

Clement berkata, pengumuman pemberian moratorium bermula 7 Julai ini dilihat dapat membantu meringankan beban kewangan bagi individu dan perniagaan terjejas tetapi ia akan menyebabkan sedikit kerugian di pihak bank.

 

Bank Negara Malaysia (BNM) semalam berkata, pasaran kewangan domestik pada Mei terjejas akibat faktor dalam negeri dan faktor luaran. 

 

Sentimen pelabur terjejas akibat ketidakpastian berhubung dengan perkembangan pandemik di rantau ini. 

 

Pelaksanaan langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat ekoran peningkatan kes COVID-19 dalam negeri mendorong kepada kebimbangan yang berlanjutan terhadap prospek ekonomi dan aktiviti penghindaran risiko yang lebih tinggi terhadap aset kewangan domestik.

 

Bagaimanapun, menurut BNM, institusi perbankan terus mengekalkan tahap permodalan yang kukuh untuk berhadapan dengan tekanan yang mungkin berlaku serta meneruskan perantaraan kredit dalam ekonomi.

 

Meskipun nisbah modal menurun sedikit, lebihan penampan modal bank kekal kukuh pada RM119.9 bilion pada Mei 2021.

 

Sementara itu, penganalisis CGS-CIMB, Winson Ng berkata, jumlah pinjaman industri yang berkembang 1.5% dalam tempoh 5 bulan itu adalah sejajar dengan unjuran pertumbuhan pinjaman firma itu antara 2.5 hingga 3.5% bagi tahun ini.

 

"Sekiranya pelaksanaan perintah kawalan pergerakan masih berpanjangan, ia akan menyaksikan pertumbuhan pinjaman ini perlahan bagi tempoh baki 7 bulan lagi," katanya.

 

Bagaimanapun, firma itu mengekalkan saranan 'overweight' dengan menjangkakan pendapatan bagi sektor perbankan dijangka pulih tahun ini. 

 

Namun, menurut beliau, jika kemerosotan ekonomi masih berlarutan, ia akan menjejaskan penarafan bagi sektor perbankan. 

 

"Sekiranya ini berlaku, bank-bank terpaksa berdepan dengan pertumbuhan pinjaman yang perlahan dan seterusnya meningkatkan peruntukan kerugian pinjaman (LLP) pada tahun ini," katanya.

 

Winson berkata, adalah sesuatu yang mengejutkan apabila jumlah peruntukan bank menyusut RM222.8 juta dalam tempoh 2 bulan antara Mac hingga akhir Mei 2021.

 

Keadaan ini berbeza berbanding jumlah peruntukan sebanyak RM2 bilion pada suku pertama 2021 dan RM3.59 bilion pada suku keempat 2020.

 

"Jika tiada peningkatan ketara jumlah peruntukan ini pada Jun 2021, LLP bank akan menurun pada suku kedua ini, yang akan memberi sokongan kepada untung bersih bank pada suku berkenaan," katanya. - DagangNews.com