Tengku Amir Shah berkenan kurnia anugerah kepada 18 staf akademik UPM cemerlang | DagangNews Skip to main content

Tengku Amir Shah berkenan kurnia anugerah kepada 18 staf akademik UPM cemerlang

Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah mencemar duli bergambar bersama staf-staf akademik UPM cemerlang yang menerima pengiktirafan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

SERDANG 28 Julai - Universiti Putra Malaysia (UPM) mengiktiraf seramai 18 staf akademiknya dan dua staf bukan akademik yang cemerlang dalam perkhidmatan pengajaran, penyelidikan dan inovasi, perunding cemerlang, pekhidmatan profesional dan pembangunan pelajar untuk universiti serta negara.

 

Dalam majlis itu, Raja Muda Selangor yang juga Pro Canselor UPM, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan Anugerah Fellowship Naib Canselor kepada kesemua 20 pemenang terbabit pada Majlis Gemilang Akademia Putra (MGAP) 2021 di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) UPM.

 

Anugerah yang disampaikan ialah Anugerah Fellowship Naib Canselor Kategori Pengajaran, Kategori Penyelidikan dan Inovasi, Kategori Perkhidmatan Profesional, Kategori Perunding Cemerlang, Kategori Pembangunan Pelajar dan Anugerah Khas Akademia Putra. 

 

Naib Canselor UPM, YH. Prof. Datuk Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, UPM akan terus komited melahirkan modal insan yang mempunyai kemahiran sahsiah yang tinggi termasuk peranan dan libat sama alumni dalam kelangsungan kecemerlangan universiti.

 

“UPM akan sentiasa berusaha menjadikan kampus hijau ini sebagai sebuah menara ilmu yang sesuai kepada perubahan dan perkembangan sezaman dengan warganya bertekad tinggi dan terus berusaha meneroka pelbagai bidang ilmu terutamanya dalam bidang petanian.

 

“Semoga warga UPM dapat meneruskan komitmen jitu dalam menjalankan tanggungjawab dan menggalas amanah selari dengan hala tuju universiti yang berpandukan Pelan Strategik UPM 2021-2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pada tahun ini, Anugerah Khas Akademia Putra 2021 yang merupakan anugerah tertinggi keseluruhan diberikan kepada Prof. Ir. Dr. Mohd Sapuan Salit @ Sinon dari Fakulti Kejuruteraan. 

 

 

upm

 

 

Prof. Ir. Dr. Mohd Sapuan berkata, beliau berasa sangat gembira dan terharu di atas penganugerahan yang diberikan oleh UPM kepadanya kerana sentiasa menyokong serta menghargai pencapaian warga akademiknya.

 

“Saya berasa amat gembira dan terharu kerana segala usaha saya dihargai UPM tetapi bukan sekali namun banyak kali sejak saya bermula kerja di sini sehingga hari ini. Terima kasih UPM,” katanya. 

 

 

upm

 

 

Dalam pada itu, Tengku Amir Shah turut berkenan melancarkan Pelancaran Sistem HiStaf (Skop JINM) dan Sistem Pengurusan Industri dan Masyarakat (ICMS). 

 

 

upm

 

 

upm

 

 

Sistem itu merupakan sebuah sistem yang dibangunkan agar pelaporan dan pengurusan aktiviti Jaringan Industri dan Masyarakat (JINM) UPM termasuk laporan pensyarah bersama JINM lebih berstruktur, mudah serta mesra pengguna. 

 

Usaha itu dilakukan bagi mencapai Matlamat 3 Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu Melestarikan Ekosistem Jaringan Industri Dan Masyarakat. - DagangNews.com