Tentera Darat terima kelengkapan baharu untuk tingkatkan pemodenan, keupayaan | DagangNews Skip to main content

Tentera Darat terima kelengkapan baharu untuk tingkatkan pemodenan, keupayaan

Panglima TD, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman (tengah) diberi penerangan tentang mortar Expal 81mm yang diterima.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 12 Jun - Pemodenan aset-aset Tentera Darat (TD) berjalan sepertimana dirancang apabila angkatan tersebut terus menerima beberapa kelengkapan baharu daripada perolehan yang dibuat.

 

Ia meliputi persenjataan, kenderaan dan kelengkapan sokongan yang diperlukan bagi kegunaan pelbagai operasi.

 

Sebanyak 48 laras mortar Expal 81mm buatan Sepanyol diterima yang dilengkapi dengan TALOS Fire Control System.

 

Ini merupakan penyerahan tambahan kerana pada tahun lalu sebanyak 72 unit mortar jenis sama bersama set lengkap telah diterima TD.

 

Mortar 81mm bagi kegunaan Batalion Infantri Standard.
Mortar 81mm bagi kegunaan Batalion Infantri Standard.

 

Difahamkan tender perolehan senjata mortar ini dibuat pada tahun 2019.

 

Perolehan tersebut adalah sebahagian daripada proses untuk melengkapkan kekuatan Batalion Infantri Standard.

 

Turut ditunjukkan pada majlis penyerahan itu ialah kenderaan pembawa mortar Cendana Auto.

 

Selain daripada mortar dan aksesorinya seperti sistem kawalan tembakan TALOS, kenderaan itu juga akan membawa peluru dan kru.

 

Walau pun tidak disebut tetapi kenderaan ini dipercayai adalah sebahagian daripada perolehan senjata mortar berkenaan.

 

Muhammad Hafizuddeian melihat submesingan Sig Sauer MPX.
Muhammad Hafizuddeian melihat submesingan Sig Sauer MPX.

 

Turut diterima ialah 155 laras submesingan jenis Sig Sauer MPX 9mm.

 

Senjata ini bagi kegunaan Gerup Gerak Khas (GGK) untuk operasi dan latihan bagi pertempuran jarak dekat untuk pasukan penyelamat tempur.

 

Ia bagi menggantikan submesingan lama seperti HK MP5-K dan MP5-SD yang digunakan ketika ini.

 

Bagi perolehan kenderaan, TD menerima 38 buah trak bersaiz tiga tan GS kargo buatan DEFTECH dan 12 buah kenderaan penarik meriam Iveco Daily 4x4.

 

Kedua-dua trak ini merupakan pengantaran tambahan daripada kontrak yang telah dimeterai sebelumnya.

 

Bot tempur yang diterima Tentera Darat.
Bot tempur yang diterima Tentera Darat.
 
Kenderaan pembawa mortar buatan Cendana Auto.
Kenderaan pembawa mortar buatan Cendana Auto.

 

Penghantaran lain termasuk 79 treler penarik bot, 33 bot tempur dan 40 unit enjin motobot sangkut.

 

Terdahulu, majlis penerimaan aset-aset tersebut telah disempurnakan oleh Panglima TD, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

 

Hadir sama ialah Timbalan Panglima TD, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeian Jantan dan Panglima Logistik, Mejar Jeneral Rusni Saad.

 

Penyerahan aset-aset ini telah dilakukan bertempat di 92 Depot Kenderaan Pusat (DKP), Kem Batu Kentomen di sini. - DagangNews.com