KUALA LUMPUR 30 Nov - Terberg Tractors Malaysia Sdn Bhd (TTM), syarikat usaha sama antara Sime Darby Industrial Sdn Bhd (Sime Darby Industrial) dan Royal Terberg Group BV yang berpusat di Belanda, merancang untuk memperluaskan lagi jejaknya di Asia Pasifik dengan pelancaran model YT200EV, traktor terminal elektrik bateri yang pertama di Malaysia.
Traktor terminal YT200EV yang merupakan buatan tempatan sepenuhnya dihasilkan di pusat pembuatan dan pemasangan yang terletak di Pasir Gudang, Johor. Traktor terminal tersebut akan tersedia untuk pengeluaran dan pengedaran bermula awal Disember 2022.
Seiring dengan sasaran Malaysia untuk mencapai neutraliti karbon menjelang tahun 2050, pengenalan model YT200EV ini dianggarkan dapat menangani isu pelepasan karbon yang semakin meningkat dalam industri logistik dan pengangkutan.
Pada tahun 2021, jumlah total pelepasan gas CO2 terhasil daripada pengangkutan di Malaysia mencecah sebanyak 55 tan metrik, sekaligus menyumbang kepada 24% pelepasan gas CO2 yang terhasil daripada sektor pengangkutan dan logistik dunia.
Dengan menggantikan traktor terminal sedia ada dengan kenderaan berat elektrik keluaran Terberg, setiap traktor dapat mengurangkan kira-kira 30 tan gas CO2 pada setiap tahun. Ia bersamaan dengan menanam lebih satu juta batang pokok atau mengurangkan lebih daripada 6,000 penggunaan kereta di jalan raya.
Ketua Pegawai Eksekutif TTM, Boo Wei Ching berkata, pihaknya bangga dapat membawakan traktor terminal elektrik pertama di Malaysia yang dikuasai sepenuhnya oleh bateri, yang juga selaras dengan rangka kerja alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG).
"Sebagai salah satu daripada pembuat traktor terminal terkemuka yang menyelia rantaian bekalan di seluruh rantau APAC selain daripada Malaysia, Terberg yakin bahawa tambahan terbaru kepada industri ini merupakan sebuah langkah besar yang akan melengkapi pelan hala tuju aspirasi hijau, dengan fokus dalam menggantikan amalan-amalan industri sedia ada dengan amalan yang lebih mampan.
"Sebagai peneraju dalam industri, kami di Terberg merasakan bahawa ia merupakan tanggungjawab kami untuk mengambil bahagian secara aktif dalam mencari penyelesaian kepada isu pelepasan karbon.
"Selain daripada mengurangkan pelepasan karbon, kenderaan-kenderaan ini juga dapat mengurangkan kos operasi yang berkaitan dengan diesel dan enjin bahan api fosil yang lain dengan amat ketara.
"Kami berharap dapat berkongsi kesemua faedah ini dengan industri-industri selain daripada sektor pelabuhan dan logistik yang turut memerlukan traktor terminal, dan selanjutnya memacu industri ke arah amalan-amalan yang lebih hijau dan mesra alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan hari ini. - DagangNews.com