Terbitan sukuk lestari kerajaan rangsang permintaan bon | DagangNews Skip to main content

Terbitan sukuk lestari kerajaan rangsang permintaan bon

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 April - Permintaan bagi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) menunjukkan sokongan minggu lalu berikutan sentimen positif hasil daripada terbitan Sukuk Kelestarian.

 

Ia menyaksikan hasil MGS dan GII meningkat dan bergerak antara 3.8 mata asas hingga 3.0 mata asas secara keseluruhannya, jelas Kenanga Research dalam laporan prospek mingguan pasaran bon hari ini.

 

"Hasil MGS 10 tahun kebanyakannya diniagakan dalam jajaran kecil sepanjang minggu sebelum meningkat kira-kira 2 mata asas kepada 3.081% pada Jumaat. 

 

"Bagaimanapun, permintaan bagi bon tempatan menerima tekanan pada Jumaat selepas Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 1.7% pada Mac, paras tertinggi dalam tempoh 34 bulan," katanya. 

 

Pada Khamis, Malaysia menerbitkan Sukuk Kelestarian, sekuriti pertama seumpamanya di dunia dalam denominasi dolar Amerika Syarikat (AS) membabitkan nilai keseluruhan AS$1.3 bilion.

 

Terbitan sekuriti bertempoh matang 10 tahun dan 30 tahun dengan masing-masing bernilai AS$800 juta dan AS$500 juta itu terlebih langgan sebanyak 6.4 kali.

 

Menurut Kenanga Research, hasil bon dijangka mendatar minggu ini, menjejaki hasil perbendaharaan AS yang stabil, memandangkan para pelabur menantikan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC). 

 

Tetapi, dalam masa sama, katanya, mungkin terdapat tekanan ke atas hasil bon tempatan berikutan kenaikan CPI yang tinggi minggu lalu. 

 

"Kami menjangkakan aliran masuk asing dalam pasaran hutang akan bertahan dalam tempoh terdekat, disokong oleh perbezaan hasil yang tinggo. 

 

"Bagaimanapun, aliran masuk ini mungkin berkurangan bulan ini disebabkan kebimbangan jangkitan COVID-19 di dalam mahupun luar negara," tambahnya.  

 

Sementara itu, bagi pasaran kewangan pula, firma itu mengunjurkan ringgit akan terus mengukuh dan bergerak menghampiri paras RM4.10 memandangkan indeks dolar AS akan terus diniagakan di bawah paras 91.0 minggu ini.

 

Jelas Kenanga Research, ringgit masih mampu mengekalkan momentum dengan mengukuh berbanding dolar AS bagi tempoh 4 minggu berturut-turut di sebalik kenaikan jangkitan COVID-19 dan pasaran harga minyak mentah yang kurang pemangkin. 

 

Malah, mata wang tempatan itu terus berdaya tahan meskipun hasil perbendaharaan AS menyusut 1.54% pada Khamis lalu daripada 1.72% sejak 2 April.

 

"Kemungkinan akan berlaku pembetulan dalam minggu ini, dengan ringgit diunjur menyusut kepada RM4.115 berbanding dolar AS," jelas firma itu. - DagangNews.com