KUALA TERENGGANU 31 Jan - Kerajaan negeri akan memanfaatkan kewujudan habitat bunga Pakma atau Raflesia di Hutan Simpan Tembat dekat Jenagor di Hulu Terengganu sebagai satu lagi tarikan pelancongan berasaskan alam semulajadi di negeri itu.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains & Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Jamilah Mohd Salim @ Halim berkata, sehingga hari ini terdapat hampir 40 spesies bunga Pakma yang telah dihuraikan di rantau Asia Tenggara tetapi taburannya hanya terhad kepada hutan hujan tropika di Semenanjung Malaysia, Borneo, Sumatera, Jawa dan Selatan Thailand sahaja.
Menurutnya, sebanyak tujuh spesies bunga Pakma dapat ditemui di Semenanjung Malaysia dan taburannya pula hanya terhad kepada negeri Terengganu, Pahang, Kelantan dan Perak sahaja.
"Disebabkan taburan bunga ini terhad kepada hutan hujan tropika di Semenanjung Malaysia, Borneo dan Sumatera sahaja, maka kewujudan dan penemuannya di sesuatu tempat akan menjadikan lokasi tersebut sangat istimewa.
"Kewujudan bunga Pakma di habitat semulajadi dapat dimanfaatkan secara ekonomi oleh kerajaan negeri melalui aktiviti eko pelancongan.
"Sekiranya ia dapat dilihat secara dekat melalui akses yang mudah, maka sudah pasti ia akan menjadi daya tarikan utama daripada pelancong domestik dan antarabangsa.
"Habitat semulajadi bunga Pakma juga perlu diuruskan dengan baik supaya lebih banyak kajian saintifik dapat dibuat untuk memahami biologi dan ekologi tumbuhan unik ini," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, ketika ini pihaknya masih menunggu permohonan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu untuk mewartakan kawasan tersebut.
"Ini bermaksud, habitat bunga Pakma itu akan menjadi kawasan yang dilindungi dan sesiapa yang ingin masuk ke kawasan tersebut perlu mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu.
"Sudah tentu ia akan menjadi satu lagi tumpuan pelancong terutama peminat alam semulajadi dan individu yang menyukai aktiviti rekreasi seperti mendaki gunung untuk datang ke Terengganu," katanya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu akan mewartakan sebahagian kawasan Hutan Simpan Tembat bagi memelihara habitat bunga unik tersebut.
Langkah pewartaan itu dijangka dapat dilaksanakan pada tahun ini mengikut Seksyen 10 (1) Akta Perhutanan Negara 1984.
Mengulas lanjut, Ariffin berkata, kerajaan negeri juga akan mendapatkan pandangan beberapa pakar untuk menjadikan lokasi tersebut sebagai tapak penyelidikan serta pendidikan.
"Spesies bunga terbesar di dunia ini semakin terancam kerana pelbagai faktor. Oleh itu amat penting untuk kita peliharanya dan pada masa sama memanfaatkannya untuk tujuan penyelidikan agar ia boleh diwariskan kepada generasi akan datang," katanya. - DagangNews.com