KUALA TERENGGANU 29 Nov - Kerajaan negeri Terengganu telah berjaya menarik pelaburan sebanyak RM3.292 bilion bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sektor industri yang terlibat ialah produk galian bukan logam iaitu sebanyak RM3.145 bilion.
Menurutnya, pelaburan lain ialah dalam sektor kayu dan produk kayu bernilai RM94.7 juta, sektor jentera dan produk (RM28.75 juta) serta sektor fabrikasi dan produk logam (RM21.61 juta).
"Selain itu ialah pelaburan dalam perkhidmatan sokongan sebanyak RM623,500," katanya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu baru-baru ini.
Tambahnya, kerajaan negeri juga optimis bahawa Terengganu mempunyai potensi tersendiri untuk terus mengekalkan daya tahan ekonomi meskipun berdepan situasi pertumbuhan perlahan ekonomi global ketika ini.
"Pada tahun 2022, ekonomi kita tumbuh 5.9 peratus berbanding 3.7 peratus pada tahun 2021 manakala kadar pengangguran meneruskan trend menurun selama tiga tahun berturut-turut kepada 3.6 peratus.
"Inflasi di Terengganu juga semakin reda dan antara yang terendah di Malaysia iaitu 1.5 peratus pada September 2023 berbanding 2.9 peratus pada Disember tahun lalu," katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, sebagai negeri yang mempunyai deposit nadir bumi terbesar di Malaysia iaitu lebih 7.18 juta tan metrik, pelan pembangunan industri itu akan dibuat dengan teliti menerusi penyediaan dasar dan model perniagaan yang komprehensif dan kompetitif.
Katanya, langkah itu penting bagi menjamin pulangan hasil yang maksimum kepada negeri, menggalakkan pelaburan dan menyediakan peluang pekerjaan untuk rakyat.
"Selain itu, Majlis Mineral Unsur Nadir Bumi Negeri Terengganu yang bertanggungjawab dalam perkara ini juga akan menilai peluang dan cabaran daripada pengenalan Dasar Mineral Negara baharu dan prosedur operasi standard oleh kerajaan Persekutuan nanti supaya kepentingan negeri sentiasa dilindungi," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut menegaskan kerjasama rasmi dan strategik yang melibatkan empat negeri iaitu Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis tidak akan menyebabkan berlakunya pertindihan dengan peranan sedia ada yang dijalankan oleh pelbagai agensi di peringkat persekutuan.
"Bukan sahaja tidak ada pertindihan, bahkan tiada perlawanan antara peranan pihak kerajaan negeri seperti Terengganu Invest, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dengan agensi berkaitan di peringkat persekutuan seperti MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) atau peringkat kementerian seperti MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri).
"SG-4 akan menjadi satu usaha yang bersifat nilai tambah untuk membantu peranan yang sedia ada yang dilaksanakan secara baik antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat melalui pelbagai agensi.
"Pelaksanaan usaha yang berterusan dan agresif akan terus dilakukan untuk memastikan pelabur dapat masuk ke negeri Terengganu dengan lebih efisien," katanya. - DagangNews.com