2.65 juta ahli KWSP capai simpanan asas mengikut umur setakat Oktober 2024 - MOF | DagangNews Skip to main content

2.65 juta ahli KWSP capai simpanan asas mengikut umur setakat Oktober 2024 - MOF

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 6 Dis - Sebanyak 2.65 juta atau 36.2% daripada 7.33 juta ahli aktif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur 18 hingga 55 tahun telah mencapai simpanan asas mengikut umur setakat 30 Oktober 2024, menurut Kementerian Kewangan.

 

Kementerian itu memberitahu, angka berkenaan menunjukkan peningkatan berbanding 2.21 juta atau 30.4% daripada 7.25 juta ahli aktif pada Disember 2022.

 

Kekurangan simpanan persaraan tersebut disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya struktur gaji yang rendah dan umur pengeluaran layak 55 tahun yang tidak selaras dengan umur persaraan di Malaysia.

 

"Selain itu, sumbangan yang tidak konsisten serta tahap literasi kewangan yang rendah dalam kalangan rakyat Malaysia menyebabkan kekurangan kesedaran mengenai kepentingan perancangan kewangan dan persaraan, yang menyumbang kepada simpanan yang tidak mencukupi," kata kementerian dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen pada Khamis.

 

Ia menjawab soalan daripada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (BN-Sembrong) mengenai unjuran kesiapsiagaan kewangan rakyat Malaysia untuk persaraan.

 

Menurut kementerian, simpanan asas merujuk kepada jumlah dalam Akaun Persaraan yang ditetapkan oleh KWSP untuk memastikan ahli mempunyai sekurang-kurangnya RM240,000 dalam simpanan menjelang usia 55 tahun.

 

Simpanan asas itu membolehkan ahli menerima sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan pada tahun pertama persaraan. 

 

Bagaimanapun, disebabkan kompaun dividen tahunan, nilai pengeluaran pendapatan persaraan bulanan meningkat dari semasa ke semasa.

 

"Berikutan kompaun dividen tahunan, pengeluaran bulanan dijangka meningkat sehingga RM2,728 pada usia 75 tahun, berdasarkan jangkaan purata jangka hayat rakyat Malaysia.

 

"Oleh itu, pengeluaran bulanan purata sepanjang tempoh dari usia 55 hingga 75 tahun, dianggarkan sebanyak RM1,697 sebulan," katanya. - DagangNews.com